
ANAK MELAKA PERLU BERANI TONJOL KEMAMPUAN SEBENAR – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 30 September – Anak-anak Melaka perlu berani untuk menyerlahkan potensi yang ada dalam diri masing-masing, sekali gus menjadi peneraju pada masa hadapan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, sehubungan itu semangat ‘Bijak Laksana Tuah dan Berani Laksana Jebat’ perlu dijadikan motivasi yang menyuntik semangat dalam diri untuk menggenggam peluang yang terbentang.
“Jadilah generasi yang berani bermimpi besar dan berusaha gigih untuk berdiri megah di puncak kejayaan. Saya percaya, setiap daripada anak-anak di hadapan saya ini memiliki potensi besar. Tidak mustahil, akan ada antara anak-anak yang bergelar saintis, usahawan berjaya dan pemimpin industri suatu hari nanti.
“Namun, semuanya bermula daripada satu langkah berani, iaitu keyakinan kepada diri sendiri dan semangat untuk terus belajar mengejar ilmu,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan program MegaMix Fiesta @SGB, Karnival Korikulum, STEMspire @SGB dan Hari Koperasi Peringkat Negeri Melaka di Dewan Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor dan Pengurus Besar Yayasan Petronas, Zaki Mahat.
Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim dan Pengetua SMK Ghafar Baba Sahreah Md Zin.
Kata Ketua Menteri, Kerajaan Negeri Melaka komited memperkasa sektor pendidikan dan pembangunan modal insan melalui pelbagai dasar serta program bersifat inklusif dan menyeluruh, malah usaha itu dianggap sebagai pelaburan terbesar untuk masa depan Melaka serta Malaysia.
“Semoga penganjuran MegaMix Fiesta ini menjadi suntikan semangat, sumber inspirasi dan medan latihan terbaik untuk para pelajar melangkah lebih jauh sebagai generasi pelapis kepimpinan masa hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.