
TRADISI PUDAR KEMBALI BERSINAR
AYER KEROH 1 Oktober – Penganjuran Program Kebudayaan dan Kelas Bahasa Jawa memberi peluang kepada generasi muda khususnya untuk terus mengangkat warisan tradisi komuniti itu di Negeri Melaka.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, bertempat di bangunan Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam (PERWAJA) program itu turut melibatkan pelajar Universiti Surabaya, Indonesia serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Penganjuran program ini bertujuan memastikan golongan muda terutamanya tidak lupa akan warisan dan adat masyarakat Jawa. Apabila adanya program seperti ini termasuk pembabitan 16 pelajar dari luar ia memberi peluang untuk kita mengenal serta menambah pengetahuan.
“Contoh untuk kelas Bahasa Jawa, peserta yang terlibat didedahkan dengan perbezaan bahasa Jawa kasar (Ngoko) dan bahasa Jawa halus (Inggil) selain turut diterangkan tentang tulisan Jawa lama,” katanya.
Terdahulu Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, disamping membudayakan kembali bahasa Jawa turut diketengahkan permainan tradisional yang makin dilupakan.
“Menariknya persembahan kebudayaan tradisi Jawa turut dipertontonkan seperti permainan alat muzik gamelan, jidoran, kuda kepang dan silat bromo.
“Sepanjang tiga hari berlangsung program yang bermula 26 September pelbagai pengisian disusun termasuk acara Muberng-Muberng Desa yang mana pelajar universiti dan peserta dibawa melawat sekitar Kampung Paya Dalam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.