Sorting by

×

KERAJAAN NEGERI KOMITED ANGKAT SEJARAH MELAKA KE PENTAS DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Oktober – Kerajaan negeri komited memperkukuhkan peranan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sebagai sebuah organisasi dinamik dalam memelihara warisan sejarah negeri supaya kekal segar dan relevan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, buktinya dapat dilihat menerusi usaha yang dilakukan termasuklah lawatan rasmi Kerajaan Negeri ke beberapa buah negara pada tahun lalu.

Katanya, inisiatif itu bertujuan membugar dan meluruskan semula sejarah Hang Tuah yang dibengkokkan oleh penjajah.

“Kerajaan negeri komited untuk terus melestarikan warisan sejarah Melaka demi memartabatkan nilai sejarah dan keilmuan negeri agar terus diangkat dan dikongsi bersama dunia.

“Justeru, PERZIM perlu menjadi organisasi yang dinamik dalam menjaga khazanah silam dan progresif dalam melakar masa depan agar warisan sejarah serta budaya negeri Melaka terus segar, relevan dan bernilai di pentas dunia,” katanya.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM berkata demikian dalam ucapan pembukaan sempena Majlis Makan Malam ‘Tautan Kenangan Legasi Berpanjangan’ Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) di sebuah hotel di Jalan Bendahara, semalam.

Hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalannya Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Menurut Ketua Menteri, pada tahun ini usaha diteruskan lagi oleh Kerajaan Negeri menerusi inisiatif menjejaki sejarah-sejarah berkaitan Panglima Awang, ikon pelayaran Melaka.

“Inilah masanya untuk meluruskan semula sejarah, menghidupkan warisan kegemilangan dan memperkenalkan Panglima Awang iaitu anak jati Melaka yang menjadi simbol keberanian, kebijaksanaan selain identiti maritim Melaka yang sebenar.

“Justeru itu Kerajaan Negeri baru-baru ini juga mengetengahkan Panglima Awang menerusi pameran Enrique de Malaca yang menampilkan beliau sebagai individu pertama mengelilingi dunia.

“Dalam tempoh enam hari pameran itu berjaya menarik lebih 16,000 orang pengunjung selain Kerajaan Negeri juga bersetuju meneruskan pameran sehingga 14 Oktober depan,” katanya.

Terdahulu, majlis turut meraikan dua kakitangan PERZIM menerusi Anugerah 25 Tahun Perkhidmatan dan 10 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang selain mengiktiraf lima oramf kakitangan yang telah dan bakal bersara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

677
Kongsi :
Previous post HAIWAN TERNAKAN BERKELIARAN, MPJ AMBIL TINDAKAN TEGAS
Next post TRADISI PUDAR KEMBALI BERSINAR