Sorting by

×

MAHASISWA KETUAI MISI KEMANUSIAAN DI THAILAND

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 Oktober – Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengetuai Misi Sukarelawan Kemanusiaan di Pattani, Thailand, melibatkan beberapa lagi universiti awam tempatan, baru-baru ini.

Misi disertai seramai 40 mahasiswa UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan sokongan mahasiswa Prince of Songkla University (PSU), Thailand.

Pengarah program, Haziq Zainudin, 23, berkata misi itu secara tidak langsung membuktikan kemampuan mahasiswa UTeM dalam kepimpinan global.

Katanya, misi berkenaan digerakkan bersama Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu UTeM selaku penganjur dengan matlamat membantu komuniti luar bandar di wilayah tersebut yang masih berdepan kekangan infrastruktur asas.

“Antara pengisian misi kali ini adalah pemasangan lampu solar di Sekolah Banbangplamoe, penyerahan sumbangan permainan kepada anak-anak kurang berkemampuan, kelas Bahasa Inggeris serta agihan bantuan ‘food bank’ kepada keluarga miskin.

“Misi ini turut diperkukuhkan melalui kerjasama erat bersama perwakilan pelajar PSU yang menjadi rakan strategik, dengan pelaksanaan aktiviti sampingan seperti forum kepimpinan mahasiswa dan malam kebudayaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Whatsapp image 2025 10 01 at 12.46.08 pm
ANTARA aktiviti yang dijalankan pada misi tersebut untuk penduduk setempat di Pattani.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin menegaskan misi luar negara ini selari aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik dan berdaya saing global.

“Inisiatif sebegini seiring dengan fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara, yang menekankan kompetensi, kepimpinan dan sahsiah mahasiswa,” katanya.

Manakala Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif pula menyifatkan keberanian mahasiswa merentas sempadan sebagai bukti semangat MADANI yang berpemikiran global.

“Usaha ini jelas menunjukkan bahawa mahasiswa kita bukan sahaja mampu menyalurkan khidmat bakti kepada masyarakat, malah berupaya menjadi jambatan hubungan baik antara negara melalui semangat kesukarelawanan dan solidariti serantau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

559
Kongsi :
Previous post MELAKA LAKSANA BACAAN QUNUT NAZILAH PADA RAKAAT TERAKHIR SOLAT JUMAAT, FARDU
Next post MAIM PERKUKUH HUBUNGAN DAKWAH DI SELATAN THAILAND