Sorting by

×

BAZAR DAN PESTA DEEPAVALI 2025 BERMULA 15 OKTOBER INI

Masa Membaca:59 Saat

BANDA HILIR 1 Oktober – Bazar dan Pesta Deepavali 2025 Peringkat Negeri Melaka dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 20 Oktober ini di Little India, Jalan Bendahara.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, kawasan berkenaan dijangka menjadi tumpuan ramai khususnya mereka yang membuat persiapan sempena sambutan Pesta Cahaya.

Beliau yang juga Pengerusi MIC negeri berkata, acara kemuncak pesta berkenaan dijangka disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 17 Oktober.

“Namun kita masih meneliti dan merangka aktiviti sepanjang pesta ini berlangsung dan sebarang kelainan pada tahun ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Selain itu, penganjuran bazar kali ini sedikit berbeza apabila pihak penganjur Little India akan memberikan harga subsidi kepada peniaga.

“Kita harap orang ramai tanpa mengira bangsa dan kaum dapat sama-sama memeriahkan bazar serta pesta ini sepanjang lima hari ia berlangsung,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Untuk rekod, pada tahun lalu, Bazar dan Pesta Deepavali berlangsung dari 16 hingga 30 Oktober dengan kehadiran hampir 30,000 pengunjung.

Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan termasuk persembahan artis jemputan, cabutan bertuah, demonstrasi pembuatan kuih tradisi masyarakat India dan lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

443
Kongsi :
Previous post EMPAT ANAK MELAKA JULANG ENAM EMAS MUAY THAI DUNIA
Next post ANGGOTA POLIS MAUT DALAM KEMALANGAN TIGA KENDERAAN