Sorting by

×

KENALI KANSER PAYUDARA

Masa Membaca:3 Minit, 28 Saat

Oleh: Datuk Dr. Shankar Gunarasa
Pakar Bedah Kolorektal dan Umum, Robotik dan Laparoskopi
Pantai Hospital Melaka

MEMANDANGKAN bulan Oktober lebih dikenali dunia sebagai ‘pink Oktober’ atau bulan kesedaran kanser payudara, saya ingin memberi sedikit pemahaman untuk masyarakat di Melaka ini tentang masalah ini. Walaupun saya lebih dikenali sebagai Pakar Bedah Kolorektal, namun saya juga sering merawat golongan hawa yang menghidap masalah payudara.

Kanser payudara merupakan pembunuh utama kaum hawa dan adalah insiden kanser tertinggi di Malaysia berbanding dengan kanser-kanser lain.

Berdasarkan statistik kanser dari tahun 2012-2016, 52.1% adalah kes kanser payudara didiagnosis tahap awal ( Stage I & II) dan 47.1% adalah pada tahap lewat (stage III & IV). Memandangkan bulan Oktober adalah bulan kesedaran kanser payudara, lebih baik kita meneliti simptom-simptom dan rawatan yang terkini.

Apa itu kanser payudara?

Kanser payudara berasal dari sel malignan dari payudara sendiri. Secara lazimnya, sel-sel di tubuh kita, sering menjalani proses pembahagian untuk sistem tumbesaran. Replikasi ini berlaku secara terkawal tetapi apabila berlakunya pembahagian yang berlebihan dan tidak terkawal, ia akan menjadi tisu berlebihan. Tisu-tisu inilah yang akan menjadi ketumbuhan. Ketumbuhan ini boleh dibahagikan kepada ketumbuhan benign (bukan barah) dan malignan (barah).

Shankar 1

Simptom-simptom kanser payudara

Antara simptom-simptom yang perlu diberi perhatian adalah:
– Ketulan di payudara
– Darah di putting
– Kemerahan kulit di payudara
– Benjolan di ketiak
– Ketidakselesaan di payudara

Penyebab dan Faktor Risiko

Penyebab pasti kanser payudara tidak selalu diketahui, namun beberapa faktor risiko meliputi:

• Genetik: Adanya sejarah kanser payudara dalam keluarga biasanya meningkatkan risiko.
• Hormon: Paparan hormon estrogen dalam jangka waktu lama dapat menjadi faktor risiko.
• Gaya Hidup: Pola makan yang tidak sihat, kurang bersenam, merokok dan pengambilan alkohol berlebihan.
• Usia: Risiko kanser payudara umumnya meningkat seiring bertambahnya usia.

Diagnosis untuk kanser payudara

Berdasarkan statistik kebangsaan yang terbaru, kes kanser payudara mula meningkat pada usia 25 tahun dan lingkungan insiden tertinggi adalah pada uaia 60 -65 tahun.

Justeru itu, kaum hawa digalakkan untuk manjalani ujian saringan berkala antara usia 50-70 tahun.

Antara ujian yang dilakukan adalah ultrasound payudara, mamogram payudara dan juga biopsi tisu. Ujian ultrasound menggunakan gelombang bunyi untuk membantu doktor menentukan jenis sista yang dialami pesakit barah payudara. Mamogram merupakan sejenis x-ray yang dijalankan ke atas pesakit untuk memeriksa sama ada pesakit mempunyai sebarang kelainan pada bahagian payudara. Biopsi adalah satu-satunya ujian yang boleh menentukan sama ada tumor itu bersifat kanser ataupun tidak.

Tahap–tahap Barah Payudara

A) Tahap pertama
Pada peringkat ini, ketumbuhan barah adalah dalam ukuran sebesar 2 cm sahaja ataupun kurang daripadanya dan ia hanya menyerang tisu yang berhampiran pada kawasan payudara sahaja.

B) Tahap Kedua
Ukuran ketumbuhan barah payudara antara 2 cm hinga 5 cm dan turut menjadikan nodus limfa sebagai sasaran serangan selain daripada bahagian payudara.

C) Tahap Ketiga
Saiz ketumbuhan lebih daripada 5 cm, tetapi kanser belum merebak ke organ organ lain. Pada peringkat ini, barah payudara sudah melibatkan nodus limfa ketiak, kulit ataupun otot yang terdapat di bawahnya (otot bahagian dada).

D) Tahap Keempat
Pada peringkat ini, saiz barah semakin membesar dan serangan barah ini menjalar ke bahagian serta organ-organ yang terletak agak jauh daripada bahagian payudara seperti nodus limfa di leher, paru-paru, hati atau tulang.

Rawatan Kanser Payudara

Rawatan kanser payudara terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, terapi radiasi dan terapi hormon. Pembedahan adalah rawatan yang pertama yang akan diterima oleh pesakit. Jenis pembedahan yang mungkin di lakukan adalah ‘wide local excision’ dan ‘mastectomy’. Terapi radiasi biasanya dilakukan selepas pembedahan, adakalanya sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz barah. Terapi radiasi ialah rawatan yang menggunakan radiasi untuk membunuh sel barah.

Sama seperti terapi radiasi, rawatan kemoterapi yang menggunakan ubat-ubatan toksik untuk membunuh sel kanser. Selalunya, kemoterapi dijalankan selepas pembedahan. Namun, doktor juga boleh memberikan rawatan ini sebelum pembedahan.

Selain itu, terapi hormon dan terapi biological digunakan di mana ubatan khas digunakan untuk memusnahkan sel-sel barah secara spesifik.

Sekiranya anda mahu mengetahui lebih lanjut tentang masalah kanser payudara atau anda mempunyai benjolan di payudara, anda boleh berhubung dengan saya Datuk Dr. Shankar Gunarasa, Pakar Bedah Kolorektal & Umum, Robotik dan Laparoskopi di Pantai Hospital Melaka di talian 06-2319999 Samb 2131 atau nombor whatsapp klinik saya +60167476060.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

12001
Kongsi :
Previous post WRUR KLEBANG TITIK SENTUH HATI RAKYAT
Next post ‘PUTERI SANTUBONG’ DI MELAKA 1 NOVEMBER INI