Sorting by

×

MELAKA PERKASA PEMBANGUNAN BAKAT, LAHIR TENAGA KERJA BERKUALITI TINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 2 Oktober – Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuhkan pembangunan bakat dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi, sekali gus memastikan Melaka kekal berdaya saing.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi pelbagai kerjasama strategik malah turut berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan inklusif.

Beliau berkata, usaha itu juga berupaya meningkatkan kemahiran belia, selain menyokong hasrat melahirkan tenaga kerja menepati kehendak industri.

“Sebagai pemudah cara, Kerajaan Negeri memastikan institusi latihan, penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan institusi pengajian tinggi tidak bergerak sendiri, sebaliknya bekerjasama rapat dalam memenuhi keperluan industri.

“Malah Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Majlis TVET Negeri Melaka bagi membantu industri memperoleh akses mudah untuk mendapatkan tenaga kerja berkemahiran dan dilengkapi dengan keupayaan bagi memenuhi permintaan semasa serta masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Industry Connect @Melaka 2025 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurut Khaidhirah, hala tuju pembangunan bakat negeri juga memberi penekanan kepada kerjasama rapat dengan institusi pendidikan dan latihanbagi memastikan keperluan sebenar industri dimasukkan ke dalam silibus, khususnya dalam sektor berpermintaan tinggi seperti semikonduktor, teknologi hijau, ekonomi digital dan hospitaliti.

“Kerjasama kerajaan, industri dan akademia akan terus diperkukuh melalui projek perintis, penyelidikan bersama termasuk program pertukaran bakat yang mampu meningkatkan lagi jalinan ‘public-private partnership’.

“Di Melaka, pertumbuhan kita semakin didorong oleh sektor seperti pembuatan berteknologi tinggi, semikonduktor, hospitaliti, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Oleh itu, untuk mengekal dan mempercepatkan pertumbuhan ini, kita mesti memastikan tenaga kerja bersedia untuk masa depan dan dilengkapi dengan kemahiran yang relevan termasuk pendedahan industri serta keupayaan bagimenyesuaikan diri dengan permintaan yang sentiasa berubah,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada TalentCorp atas komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem bakat yang mantap dan berdaya tahan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga melalui libat urus yang berfokus seperti di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

588
Kongsi :
Previous post PAMERAN PANGLIMA AWANG DILANJUTKAN SEHINGGA 14 OKTOBER
Next post SAMB PERKASA BUDAYA INTEGRITI BERSAMA RAKAN NIAGA