Sorting by

×

AKADEMI BINAAN MALAYSIA DIBINA DI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 6 Oktober – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan membuka cawangan dan membina Akademi Binaan Malaysia (ABM) di Melaka tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan tersebut memerlukan kawasan tanah seluas 2.02 hektar dan pihak CIDB sedang meneliti kawasan yang sesuai dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka.

“Saya ingin memaklumkan bahawa CIDB sedang mencari lokasi untuk membina cawangan CIDB dan ABM Negeri Melaka dan memerlukan tanah seluas 5 ekar (2.02 hektar) bagi membina kedua-dua fasiliti tersebut.

“Umum mengetahui bahawa CIDB melatih pekerja binaan yang mahir melalui dua organisasi di bawah CIDB iaitu ABM dan CIDB Technologies (CIDB Tech) yang melaksanakan kursus-kursus yang berkaitan industri pembinaan.

“Buat masa ini, sebanyak enam ABM telah ditubuhkan mengikut Wilayah iaitu Wilayah Tengah, Wilayah Selatan, Wilayah Timur, Wilayah Utara, Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Program Aspirasi Kerjaya Pembinaan Bagi Tahun 2025 yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal dan Presiden Gerakan Belia 4B (GB4B) Malaysia, Datuk Ridhwan Mohd Ali.

Jelas Ahmad, ketika ini, cawangan CIDB di Melaka hanya sekadar menyewa bangunan di Kompleks Komersial Boulevard, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh namun atas keperluan semasa berserta teknologi terkini, CIDB mengambil tanggungjawab membina bangunan cawangan dan ABM di negeri ini.

“Pihak CIDB berpandangan pejabat cawangannya di Melaka sekarang sudah tidak bersesuaian lagi kerana ruangannya agak terhad memandangkan mereka perlu membina Makmal Building Information Modeling (BIM) bagi memenuhi keperluan teknologi terbaharu.

“Buat masa ini Melaka termasuk di dalam Zon Wilayah Selatan, kontraktor daripada negeri ini perlu turun ke Tampoi, Johor atau di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur jika mahu mengikuti latihan di ABM, jadi agak jauh buat mereka yang dari Melaka.

“Justeru, dengan pembinaan ABM di Melaka, ini akan memudahkan urusan golongan kontraktor binaan di negeri ini bagi mengikuti latihan binaan di ABM pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, pada program tersebut, Ahmad mengiringi Tun Dr. Mohd Ali menyampaikan sumbangan tunai kepada 30 penerima yang terdiri daripada pekerja binaan serta waris kepada pekerja binaan yang terlibat dalam kemalangan ketika bekerja.

Program tersebut turut disertai oleh beberapa rakan strategik, antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), GB4B Malaysia, Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B) serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS)

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6048
Kongsi :
Previous post WRUR KLEBANG FOKUS PERKASA PERTANIAN, PELANCONGAN MELAKA
Next post PEMUDA MAUT, RAKAN CEDERA MOTOSIKAL TERBABAS MASUK LONGKANG