
MTA KAKI RACE 2025 PROMOSI PELANCONGAN MELAKA, SEMARAK VM 2026
AYER KEROH 7 Oktober – Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) akan menganjurkan acara MTA Kaki Race 2025 yang menawarkan hadiah lumayan bernilai RM20,000 keseluruhannya.
Presiden MTA, Madeline Kuah Wey Lee, berkata program yang memasuki edisi keempat itu akan berlangsung pada 25 Oktober ini di sekitar kawasan pelancongan utama negeri ini, khususnya di Banda Hilir.
Katanya, penganjuran acara tersebut bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025), Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) dan Tahun Melawat Melaka.
“Program MTA Kaki Race 2025 akan bermula dari jam 6.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di Menara Taming Sari dengan penyertaan maksimum 50 kumpulan, masing-masing terdiri daripada lima peserta berumur 18 hingga 65 tahun.
“Penganjuran kali ini mendapat kerjasama erat Kerajaan Negeri Melaka melalui Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka (BPP), Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta Melaka Taming Sari Berhad (MTSB).
“Pertandingan berkonsepkan gabungan Amazing Race dan Treasure Hunt ini bertujuan mempromosikan produk pelancongan negeri selain menguji ketahanan fizikal dan semangat berpasukan peserta,” katanya kepada pemberita pada sidang media MTA Kaki Race 2025 di Pejabat BPP, Kota Cemerlang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar BPP, Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif MTSB Nur Azan Hassan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Madeline berkata, MTA Kaki Race 2025 membabitkan cabaran perlumbaan sejauh lima hingga lapan kilometer, di mana setiap peserta dikehendaki menyelesaikan tugasan di antara 10 hingga 12 lokasi pelancongan utama sekitar Bandaraya Melaka.
Menurutnya, pertandingan itu terbuka kepada orang awam, penjawat awam, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan yuran penyertaan RM300 bagi setiap kumpulan.
“Penyertaan masih dibuka sehingga 17 Oktober dan hadiah yang ditawarkan bagi juara adalah RM7,500, naib juara RM4,000, ketiga RM3,000, keempat RM2,000 dan RM1,000 untuk tempat kelima, selain hadiah untuk tempat keenam hingga ke-12.
“Majlis pelepasan peserta akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada jam 7 pagi, manakala majlis penutup dijadual diadakan pada 1 tengah hari,” katanya.
Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh menghubungi talian 017-681 3901 atau 017-665 7191.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.