
BELANJAWAN 2026 PERLU TINGKAT KAPASITI TVET, TEPATI KEPERLUAN INDUSTRI – BELIA MAHIR
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) Mohammad Rizan Hassan berkata ini memandangkan banyak institusi TVET menawarkan kursus yang tidak lagi seiringan dengan permintaan industri.
Sehubungan itu, Belia Mahir menggesa agar diwujudkan peruntukan khusus dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan Jumaat ini, dapat memperluaskan kapasiti TVET, menambah baik kemudahan berkaitan serta mengemas kini kurikulum yang disifatkan sebagai lapuk.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata pendanaan bagi TVET itu penting bagi menyokong sektor permintaan tinggi seperti kenderaan elektrik (EV), robotik, semikonduktor dan TBB yang sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Mohammad Rizan berkata isu penting lain adalah mengutamakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan penyediaan kerja yang menyumbang 60 peratus ekonomi.
“Bagaimanapun, PKS berdepan kekurangan tenaga kerja mahir yang kritikal,” katanya ketika mengulas penubuhan Suruhanjaya TVET yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata walaupun pengambilan TVET semakin bertambah, jurang sedia ada masih wujud berikutan banyak kursus yang tidak seiringan dengan keperluan industri.
“Bagi mengatasinya, lebih banyak institusi perlu menawarkan program yang melengkapkan belia Malaysia dengan kemahiran kerja. Penubuhan Suruhanjaya TVET yang bertujuan memacu pembaharuan, akan menjadi rujukan utama untuk pelabur dan industri selain melaksanakan piawaian serta dasar TVET,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Malaysia juga perlu segera bertindak mengembangkan dan melakukan penjajaran semula ekosistem TVET untuk memenuhi pengambilan penuntut yang kian bertambah serta keperluan industri yang sentiasa berubah.
“Ini boleh dilaksanakan secara praktikal berikutan bidang keutamaan ekonomi Malaysia jelas dinyatakan dalam NIMP 2030, 13MP dan NETR,” katanya.
Selain itu, persatuan berkenaan turut menekankan keperluan dana operasi bagi Suruhanjaya TVET itu bagi menyelaras aspek piawaian, mengelak pengulangan kursus dan menyelaras institusi dengan keperluan pelabur.
Menurutnya, pembaharuan yang tidak mendapat sokongan belanjawan, boleh menyebabkan Malaysia berisiko ketinggalan membekalkan tenaga kerja mahir untuk industri bernilai tinggi serta pertumbuhan ekonomi masa depan.
Mohammad Rizan juga menekankan keperluan Malaysia mengembangkan kapasiti institusi TVET serta meminda kurikulum agar selari dengan keperluan industri yang pesat berubah dalam arus peningkatan pengambilan penuntut.
Malaysia pada masa ini mempunyai lebih daripada 1,300 penyedia TVET di serata agensi kerajaan, institusi swasta serta pusat kemahiran negeri yang beroperasi di bawah kira-kira 12 kementerian.
“Biarpun ini mencerminkan agenda kerajaan ‘TVET untuk Semua,’ jumlah itu tidak cukup untuk menampung peningkatan minat penuntut. Pengambilan meningkat secara ketara dalam tempoh dua tahun lepas manakala penempatan pula masih tidak mencukupi.
“Isunya bukan pada jumlah institusi tetapi kebanyakannya menawarkan kursus sama yang tidak lagi seiringan dengan permintaan industri,” katanya.
Beliau berkata kekurangan itu juga melibatkan kapasiti institusi serta kerelevanan program.
“Ada kursus sama di pelbagai institusi walaupun keperluan industri sudah berubah. Inilah sebabnya kita memerlukan lebih banyak penyedia dan lebih penting lagi, bidang pengajian yang lebih relevan dengan industri,” katanya.
Justeru bagi mengatasi isu itu, Mohammad Rizan menggesa agar diwujudkan klasifikasi jelas berkaitan institusi serta pengkhususan program yang sejajar dengan strategi ekonomi negara seperti NIMP 2030, RMK13 dan NETR.
Ini termasuk cadangan agar institusi awam menumpukan program-program berintensifkan modal melibatkan kejenteraan berat dan teknologi maju manakala penyedia swasta memberi fokus kepada bidang dengan kos lebih rendah seperti kecantikan, jahitan serta kemahiran berasaskan komuniti.
“Satu bahagian yang lebih berstruktur akan mengelak berlakunya duplikasi dan memastikan modal insan itu disalurkan kepada sektor yang mencatat permintaan tertinggi,” katanya.
Seiring dengan kepesatan pertumbuhan EV, robotik, semikonduktor dan pembuatan bernilai tinggi, beliau menyifatkan kesediaan Malaysia bagi membekalkan tenaga kerja mahir sebagai sesuatu yang belum jelas.
“Program-program ini memerlukan pelaburan besar dalam aspek kemudahan, peralatan dan tenaga pengajar yang berkualiti. Ia bukan sekadar mengemas kini silibus (sebaliknya) keseluruhan ekosistem perlu berkembang selari dengan perkembangan teknologi,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.