
PEMILIK KENDERAAN 4X4 BERTULISAN HEBREW DAKWA PEMINAT TULISAN ANTARABANGSA
AYER KEROH, 8 Oktober – Pemilik kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang mempamerkan pelekat bertulisan Hebrew selepas video kenderaannya tular di media sosial baru-baru ini, mendakwa tulisan itu bermaksud “Malaysia rumahku” dan bukan “Malaysia milik kami” sebagaimana disalah tafsir umum.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata susulan video berdurasi 14 saat itu tular, pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Agama kepada Ketua Menteri Melaka pada 7 Oktober lalu, manakala pemilik kenderaan berusia 59 tahun itu turut membuat laporan di Balai Polis Air Kuning Selatan, Gemencheh, pada hari sama jam 8 malam.
Katanya, hasil keterangan lelaki terbabit yang juga pesara kerajaan, dia menjelaskan bahawa dirinya seorang peminat tulisan antarabangsa termasuk Greek, Rusia dan Hebrew, dan telah menggunakan pelekat berkenaan pada kenderaannya sejak tahun 2012.
“Hasil keterangan awal lelaki itu mendakwa tulisan Hebrew berkenaan berbunyi ‘Malaysia Beitenu’ yang membawa maksud Malaysia rumah kami atau Malaysia tanah airku.
“Dia memaklumkan tulisan itu diilhamkan daripada perkataan ‘Israel Beitenu’ (Israel rumahku) dan menukarkannya kepada ‘Malaysia Beitenu’ untuk menyatakan kecintaannya kepada negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Menurutnya, perkara itu mengundang kekeliruan dalam kalangan netizen yang menyangka tulisan pada pelekat itu berbunyi ‘Malaysia Beyadenu’ yang bermaksud ‘Malaysia milik kami’, sebaliknya tulisan sebenar ialah ‘Malaysia Beitenu’ yang membawa maksud ‘Malaysia rumah kami’ atau ‘Malaysia tanah airku’.
Beliau berkata, lelaki itu turut memaklumkan pelekat tulisan Hebrew itu telah ditempah di sebuah kedai di Selangor pada 2012 dan digunakannya serta adiknya sejak itu tanpa sebarang isu sehingga ia tular minggu ini.
“Namun disebabkan isu semasa membabitkan konflik Israel–Palestin, ia menimbulkan salah faham dan kemarahan dalam kalangan netizen,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata polis akan mendapatkan pandangan pakar bahasa bagi mengesahkan maksud sebenar tulisan Hebrew tersebut.
“Oleh kerana Malaysia tidak mempunyai Kedutaan Israel, kita akan dapatkan bantuan daripada kedutaan negara itu dari negara jiran yang terdekat bagi memastikan terjemahan yang tepat,” katanya.
“Walaupun dia telah memberi penjelasan, siasatan belum selesai dan pihak polis akan meneliti semua aspek termasuk kemungkinan elemen lain yang berkait.
Menurut Dzulkhairi, bagi kedua-dua seksyen ini, ia merupakan kesalahan tidak lazim ditangkap, jadi kita memerlukan Order to Investigate (OTI) daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum meneruskan siasatan dan pihaknya memperoleh OTI semalam bagi memulakan siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kesalahan menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.
Terdahulu, laporan polis pertama dibuat oleh Pegawai Agama kepada Ketua Menteri Melaka selepas melihat video berdurasi 14 saat itu tular di media sosial pada 7 Oktober lalu jam 3 petang.
Video tersebut memaparkan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu dengan pelekat bertulisan Hebrew “Malaysia Beitenu” yang mencetuskan pelbagai reaksi awam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.