Sorting by

×

TUBUH JAWATANKUASA KHAS TANGANI ISU NELAYAN DUN KLEBANG

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KLEBANG 9 Oktober – Satu Jawatankuasa Khas perlu diwujudkan segera bagi menangani isu melibatkan permohonan lesen nelayan dan proses penahanan bot susulan aktiviti penguatkuasaan dijalankan agensi berkenaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu penting supaya segala masalah dan keluhan yang dibangkitkan oleh komuniti nelayan dapat diselesaikan dengan lebih cepat serta berkesan.

“Kita lihat dua perkara utama yang perlu diberi perhatian segera, iaitu isu permohonan lesen baharu yang masih belum mendapat maklum balas daripada jabatan terlibat serta proses penahanan bot yang mengambil masa terlalu lama.

“Dengan adanya jawatankuasa khas ini, kedua-dua isu ini dapat ditangani segera tanpa menjejaskan sumber pendapatan nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Sepetang Bersama Nelayan di Jeti Warisan Klebang, semalam.

Whatsapp image 2025 10 09 at 1.08.30 pm (1)
ANTARA nelayan yang menyuarakan permasalahan mereka pada program itu. Foto Aufa Izzati

Menurutnya, jawatankuasa khas itu wajar dianggotai oleh wakil daripada Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Laut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi lain berkaitan, bagi memastikan semua isu nelayan dapat ditangani secara menyeluruh.

“Dengan adanya satu pasukan bersepadu seperti ini, setiap masalah nelayan tidak perlu lagi dibawa satu persatu ke jabatan berasingan. Sebaliknya, ia boleh diselesaikan terus melalui platform khas yang lebih efisien,” katanya.

Hadir sama Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Tuminah Kadi@Mohd Hashim; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Setiausaha Khas Masyarakat Ketua Menteri Melaka, Yong Fun Juan dan Pegawai Daerah Melaka Tengah, Mohd Shaiful Hizam Johan.

Dalam pada itu, Ban Hong turut menyentuh isu gangguan aktiviti penangkapan ikan akibat laluan kapal besar dan bot lain di kawasan tangkapan nelayan tempatan.

“Kita mohon supaya penyelarasan antara jabatan laut, Lembaga Pelabuhan Melaka dan persatuan nelayan dilakukan secara berkala agar tidak berlaku pertindihan kawasan yang boleh menjejaskan hasil tangkapan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post PEMILIK KENDERAAN 4X4 BERTULISAN HEBREW DAKWA PEMINAT TULISAN ANTARABANGSA
Next post MELAHIRKAN PEMIMPIN BERKARISMA