Sorting by

×

WRUR: ‘KAMI MAHU JADI PEMIMPIN PELAPIS MELAKA’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KLEBANG 11 Oktober – Maklumat dikongsi sepanjang Program Pembangunan Pemimpin Pelapis terbukti amat bermanfaat dan menyuntik semangat dalam jiwa belia anak jati Melaka untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin negeri ini pada masa hadapan.

Peserta, Muhammad Nazmi Harraz Nabil Syafiq, 16, berkata, program itu menyentuh pelbagai aspek seperti patriotisme, perkembangan semasa dan paling menarik perhatiannya adalah berkenaan sejarah Negeri Melaka.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai itu berkata, program itu juga mendedahkan fakta sebenar berhubung sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang dipesongkan oleh penjajah dengan menggambarkan kelemahan pemerintahan ketika itu.

“Secara tidak langsung pendedahan diberikan meningkatkan minat saya terhadap sejarah yang selama ini dianggap sebagai subjek biasa sahaja. Selain itu motivasi diberikan penceramah meningkatkan tahap keyakinan diri, kami diberi kesedaran mengenai perlunya untuk menjadi sebahagian daripada pemimpim pelapis untuk Melaka pada masa akan datang.

“Pada mulanya saya anggap program ini sekadar ceramah motivasi biasa, tetapi sebenarnya ia luar biasa, jika tidak menjadi pemimpin ilmu diperoleh kali ini amat berguna sebagai panduan hingga ke akhir hayat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada program berkenaan yang dianjurkan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di Dewan Japerun Klebang, di sini, pada Khamis.

Hadir sama pada program itu Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Program melibatkan 200 pelajar itu dijayakan dengan kerjasama IPT, Jabatan Pelajaran Negeri Melaka dan Pejabat Daerah Melaka Tengah.

Sementara itu Muhammad Fakrullah Aiman Fairus, 16, berkata, program itu memberikan pendedahan mengenai cara untuk menjadi seorang pemimpin yang berkualiti.

“Ciri-ciri diterapkan bukan khusus untuk menjadi pemimpin persatuan atau organisasi penting, sebaliknya amat penting untuk saya bergelar ketua keluarga di rumah. Jika tidak ada ciri-ciri sebagai pemimpin saya tidak dapat menguruskan keluarga sendiri dengan baik, alhamdulillah menerusi program ini banyak benda baharu yang saya belajar.

“Ilmu ini boleh dikongsi bersama rakan sebaya di sekolah atau dalam persatuan, ciri kepimpinan berkualiti amat penting dalam melancarkan aktiviti seharian kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post WRUR: PERKASA KEUSAHAWANAN DI KLEBANG
Next post WRUR: PESTA TANGLUNG UNITI CERMINAN RAKYAT HIDUP HARMONI