Sorting by

×

WRUR: WUJUDKAN PARKIR SEMENTARA DI KLINIK KESIHATAN KLEBANG BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KLEBANG 11 Oktober – Mewujudkan kawasan parkir tambahan sementara antara penyelesaian yang dicadangkan bagi mengatasi masalah kekurangan petak tempat letak kenderaan di Klinik Kesihatan Klebang Besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, perkara itu menjadi keutamaan baginya kerana Klinik Kesihatan Klebang Besar berhadapan kekangan ruang bagi pembangunan baharu dalam kawasan sedia ada.

Katanya, berikutan itu tanah lapang berhampiran Klinik Kesihatan Klebang Besar dicadangkan untuk dijadikan sebagai kawasan parkir sementara bagi memberikan keselesaan kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

“Kita sedang mengenal pasti lokasi berhampiran, jika sesuai rundingan akan diadakan bersama pemilik tanah dan diharapkan perkara ini dapat dilaksanakan segera.

“Sebelum ini kita juga ada mencadangkan agar kerajaan mengambil alih tanah bersebelahan dan menjadi sebahagian daripada Klinik Kesihatan Klebang Besar, tetapi itu adalah perancangan bagi jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun padang pada sesi lawatan ke Klinik Kesihatan Klebang Besar, di sini, hari ini yang turut disertai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem bersama timbalannya, Datuk Siti Faizah Abdul Azis, semalam.

Ban Hong berkata, Klinik Kesihatan Klebang Besar turut menjadi pilihan orang awam luar dari DUN Klebang seperti Limbongan, Tengkera dan Bertam Perdana yang berpuas hati dengan kualiti rawatan kesihatan disediakan.

“Lawatan ini turut disertai panel kesihatan klinik kerana kita juga mahu dengar pendapat mereka selain kakitangan bertugas dan orang awam. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan mutu perkhidmatan disediakan, namun aspek infrastruktur terutama parkir perlu kita selesaikan.

“Keperluan menaik taraf atau menggantikan kemudahan lain bagi keselesaan petugas kesihatan dan pesakit juga kita ambil perhatian dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain itu beliau turut menyambut baik cadangan untuk membina sebuah kemudahan kesihatan baharu di tapak berhampiran Japerun Klebang kerana ia pastinya akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan rawatan kepada rakyat.

“Saya amat menyokong dan menyambut baik pakara ini, tetapi sementara menunggu permohonan lulus dan kemudahan baharu siap kita perlu memastikan mutu perkhidmatan di Klinik Kesihatan Klebang Besar ini kekal berkualiti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

576
Kongsi :
Previous post SASARAN HSN MELAKA 2025 HAMPIRI SASARAN 359,000 PESERTA
Next post WRUR: KUIH BULAN DAN TANGLUNG SATUKAN MASYARAKAT KLEBANG