
BELANJAWAN 2026: MELAKA HARGAI PERHATIAN KERAJAAN PERKASA PENDIDIKAN
AYER KEROH 11 Oktober – Melaka menghargai perhatian Kerajaan Persekutuan dalam sektor pendidikan apabila memperuntukkan keseluruhan RM66.2 bilion bagi memperkasa sektor tersebut pada Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, menerusi peruntukan tersebut, Melaka turut menerima tempias apabila sebanyak tiga buah sekolah baharu akan dibina bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Jelas beliau, tiga sekolah itu adalah Kompleks Sekolah Batu Berendam; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rumbia dan Kompleks Sekolah Anjung Gapam, Jasin.
“Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan RM2 bilion bagi menaik taraf sekolah daif di seluruh negara yang juga bakal memberi manfaat kepada sekolah-sekolah memerlukan di Negeri Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, Rahmad turut menyambut baik peruntukan RM7.9 bilion kepada sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memandangkan Melaka merupakan antara negeri yang begitu komited memperkasa sektor berkenaan yang berpotensi membuka peluang pekerjaan lebih meluas pada masa akan datang.
“Ini adalah satu pengumuman yang amat baik dan saya mewakili Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sentiasa memberi keutamaan terhadap sektor pendidikan di negara ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.