
WRUR: KUIH BULAN DAN TANGLUNG SATUKAN MASYARAKAT KLEBANG
KLEBANG 11 Oktober -Aktiviti membuat kuih bulan dan menghasilkan tanglung bukan sahaja mencuri tumpuan malah menyerlahkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN Klebang.
Perkara itu dapat dilihat menerusi Program Jalinan Mesra Perpaduan Pesta Tanglung Uniti yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, semalam.
Pengisian bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang itu menarik kehadiran hampir 1,000 pengunjung yang tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan kebudayaan serta menyertai aktiviti kekeluargaan yang disediakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong turut hadir merasmikan program tersebut bersama kenamaan lain.
Penganjuran pesta itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Melaka Tengah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Bukit Rambai, Setulang Daeng, Kampung Tengah, Paya Mengkuang dan Kampung Bukit Rambai.

Bagi penduduk tempatan, Zila Zakaria, 37, program itu bukan sekadar hiburan, malah membuka ruang untuk mempelajari budaya masyarakat Tionghua.
“Rupa-rupanya senang sahaja membuat kuih bulan. Bila tengok cara yang diajarkan, baru tahu mudah rupanya buat ‘moon cake’ ini,” katanya yang datang bersama keluarga.
Suaminya, Mohd Shawal Yusof, 38, pula berpendapat penganjuran seperti itu wajar diperbanyakkan bagi menyemai semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat majmuk.
“Anak-anak gembira dan dapat ilmu baharu, malah kuih yang dibuat boleh dibawa pulang. Program begini bagus kerana sedikit sebanyak kita dapat pengetahuan mengenai perayaan Pesta Tanglung,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.