Sorting by

×

WRUR: PESTA TANGLUNG UNITI CERMINAN RAKYAT HIDUP HARMONI

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KLEBANG 11 Oktober – Penganjuran Pesta Tanglung Uniti bukan sekadar perayaan kebudayaan masyarakat Tionghua sebaliknya menjadi platform penting yang membuktikan rakyat Malaysia khususnya di Klebang mampu hidup harmoni tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, pesta tersebut diadakan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.

Katanya, penganjuran pesta itu juga telah mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi tunjang kepada keharmonian dan kestabilan negeri ini.

“Pesta Tanglung ini membuktikan rakyat Malaysia mampu hidup harmoni tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.

“Program seperti ini bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya, malah mengukuhkan perpaduan serta mengeratkan hubungan antara kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Jalinan Mesra Perpaduan Pesta Tanglung Uniti Sempena WRUR DUN Klebang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ban Hong berkata kesemua aktiviti yang turut dijalankan pada pesta terbabit turut menekankan nilai kekeluargaan dan kesyukuran sebagai asas kepada masyarakat sejahtera.

“WRUR DUN Klebang ini bukan hanya tentang membina kemudahan atau peluang pekerjaan, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan kerana ia asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya.

Pesta berkenaan menarik kehadiran hampir 1,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum yang hadir bersama keluarga bagi menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan dan menyaksikan persembahan kebudayaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

470
Kongsi :
Previous post WRUR: ‘KAMI MAHU JADI PEMIMPIN PELAPIS MELAKA’
Next post RAKAN NIAGA GRAB DI MELAKA CATAT PENDAPATAN LEBIH RM135 JUTA PADA 2024