
WRUR : KARNIVAL KITA MADANI PLATFORM TERBAIK SEMAI PERPADUAN
KLEBANG, 11 Oktober – Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat Peringkat Negeri Melaka sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang disifatkan sebagai platform terbaik menyemai semangat perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, program itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih daripada agensi kerajaan melalui pelbagai pameran serta aktiviti yang diadakan.
Katanya, program yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka itu dilihat dapat mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat.
“Karnival ini malah menjadi platform penting bagi rakyat mengetahui saluran rasmi untuk mendapatkan maklumat yang benar.
“Masyarakat kini bukan sahaja berpeluang memperoleh maklumat semasa secara terus di tapak pameran, tetapi turut didedahkan dengan portal, pautan dan jabatan kerajaan yang boleh dirujuk jika mempunyai sebarang persoalan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat Peringkat Negeri Melaka sempena Program WRUR DUN Klebang yang dirasmikan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan di Dataran Klebang, di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Melaka Tengah, Shaiful Hizam Johan; Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Erwin Khairul Ahmad dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ban Hong berkata beliau menyambut baik usaha Jabatan Penerangan melalui Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang menganjurkan program terbabit.
“Sekiranya diadakan lagi pada masa akan datang, saya mengalu-alukan DUN Klebang sekali lagi dipilih sebagai lokasi penganjuran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.