
BELANJAWAN 2026: PEMBINAAN SMK RUMBIA BERI KELEGAAN PENDUDUK
KLEBANG, 11 Oktober – Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rumbia yang diluluskan menerusi Belanjawan 2026 bakal memberi kelegaan dalam mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah sedia ada di kawasan Rembia.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata sekolah tersebut merupakan antara tiga Kemudahan pendidikan baharu yang akan dibina di Melaka.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang membantu kepada kelulusan pembinaan tiga sekolah baharu di Melaka termasuk SMK Rumbia.
“Perkara ini telah lama diperjuangkan dan akhirnya dimasukkan dalam Belanjawan 2025 untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Projek ini akan memberi kelegaan kepada ibu bapa dan pelajar kerana masalah kepadatan di sekolah dalam kawasan ini semakin ketara, khususnya di kawasan pesat membangun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat Peringkat Negeri Melaka Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang di Dataran Klebang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong; Pegawai Daerah Melaka Tengah, Shaiful Hizam Johan; Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Erwin Khairul Ahmad dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang sentiasa prihatin dan menyokong usaha memperkukuh infrastruktur pendidikan di Melaka.
“Saya yakin dengan komitmen Kerajaan Negeri , lebih banyak kemudahan pendidikan berkualiti dapat diwujudkan demi masa depan anak-anak di Melaka,” katanya.
Untuk rekod, menerusi pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri memaklumkan Melaka menerima tiga sekolah baharu iaitu SMK Rumbia; Kompleks Sekolah Anjung Gapam dan Kompleks Sekolah Batu Berendam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.