Sorting by

×

KAPAL KARGO ASING DITAHAN BERSAUH TANPA KEBENARAN DI PERAIRAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah menahan sebuah kapal kargo asing kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan barat daya Pulau Undan, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejadian dikesan selepas Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut mengesan satu kontek mencurigakan di kedudukan kira-kira 3.9 batu nautika barat daya Pulau Undan, Melaka.

Susulan maklumat tersebut, katanya, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP MURNI telah diarahkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal kargo berkenaan disyaki melakukan kesalahan tidak melaporkan ketibaan serta bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” jelas beliau.

Tambah beliau, kapal kargo tersebut yang dikendalikan oleh sembilan kru warga China dan dua kru warga India telah ditahan sekitar pukul 10.10 malam.

Katanya, dua kru kapal berkenaan telah dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

“Maritim Malaysia menasihatkan semua pengusaha kapal supaya mematuhi peraturan pelayaran dan mendapatkan kebenaran rasmi sebelum bersauh atau beroperasi di perairan Malaysia.

“Orang ramai turut diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti salah laku di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 untuk maklum balas segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1762
Kongsi :
Previous post WANITA MAUT MOTOSIKAL REMPUH KERETA MASUK SIMPANG MENGEJUT