
WRUR: BUKA MATA BELIA MENGENAI KELEBIHAN DITAWARKAN TVET
KLEBANG 13 Oktober – Program Perkampungan Ilmu memberikan lebih pemahaman dan membuka mata 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar serta SMK Seri Tanjung, mengenai peluang kerjaya ditawarkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong, berkata bengkel sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang itu adalah hasil kerjasama Kolej Komuniti Tangga Batu, Majlis TVET Negara, Perbadanan Melaka (MCORP) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Katanya, bengkel itu amat bermanfaat kerana melibatkan peserta dalam kalangan calon bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pendidikan berkualiti akan melahirkan sumber tenaga manusia berkemahiran dalam pelbagai bidang dan amat penting bagi membantu perkembangan ekonomi Negeri Melaka,” katanya ketika ditemui pada program itu di Kolej Komuniti Tangga Batu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Tangga Batu, Azharudin Ahmad serta wakil MCORP dan Majlis TVET Negara.
Mengulas lanjut, Ban Hong berkata program seumpama itu akan diperluaskan ke sekolah-sekolah menengah lain di kawasan DUN Klebang melalui pelaksanaan pelbagai bentuk kem motivasi.
“Ini merupakan program yang menekankan objektif dalam sektor pendidikan, jadi kita akan memastikan semua sekolah dalam DUN ini melaksanakan kem motivasi, teknik menjawab soalan SPM dan sebagainya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.