Sorting by

×

DUA PROJEK JALAN UTAMA MANFAATKAN RIBUAN PENGGUNA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 13 Oktober – Kerajaan Negeri menyambut baik peruntukan Belanjawan 2026 yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur di Melaka menerusi dua projek jalan utama di Masjid Tanah yang akan memanfaatkan ribuan pengguna setiap hari.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pengumuman itu jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan infrastruktur di Melaka dan sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh jaringan pengangkutan antara daerah.

Hameed berkata, meskipun sedang menunggu butiran terperinci berkenaan kedua-dua projek itu namun pengumuman dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berita gembira untuk rakyat Melaka khususnya.

“Ini adalah berita yang amat dinantikan oleh rakyat yang mana jalan Masjid Tanah-Sungai Udang ini akan dinaik taraf daripada dua kepada empat lorong.

“Laluan ini merupakan penghubung antara dua daerah iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah membabitkan jarak kira-kira tujuh kilometer dengan kos dianggarkan hampir RM300 juta,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di sebuah hotel di Jalan Tun Perak, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Saleh Jusman dan Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Wira Ab Wahab Ab Latip.

Menurut Hameed, Belanjawan 2026 juga memperuntukan kira-kira RM60 juta bagi pembinaan jalinan jalan baharu dengan jarak hampir enam kilometer antara Masjid Tanah-Kuala Linggi ke Telok Gong.

“Jalinan jalan baharu ini adalah kesinambungan antara Jalan Paya Lebar ke Kampung Pulau dan Kampung Pulau ke Telok Gong.

“Apabila siap kelak ia akan memudahkan urusan trafik khususnya pengunjung-pengunjung di sebelah pantai untuk keluar dari kawasan pantai dan menghala keluar ke tol dengan melalui jalan baharu,” katanya.

Jelas beliau, kedua-dua projek tersebut bukan sahaja melancarkan aliran trafik malah dijangka dapat meningkatkan pembangunan baharu di sekitar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

535
Kongsi :
Previous post 241 KAKITANGAN SAMB TERIMA SIJIL KEMAHIRAN MALAYSIA
Next post PAIP USANG 60 KILOMETER DI MELAKA DIGANTI