Sorting by

×

WRUR: MAIM BANTU ASNAF DIAMI KEDIAMAN LEBIH SELESA

Masa Membaca:54 Saat

KLEBANG 13 Oktober – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang terus membuktikan keberkesanannya dalam menyentuh denyut nadi rakyat apabila turut menyelitkan pengisian membantu golongan asnaf.

Usaha itu digerakkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi program Gotong-Royong Kasih Asnaf dengan menyantuni seorang warga emas Zakariah Abdul Wahab di Kampung Pinang A.

MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu bertujuan membantu asnaf mendiami kediaman yang lebih selesa dan sejahtera.

“Badan Sukarelawan Al-Taqwa MAIM (BSAT) telah bergotong-royong membersih, mengemas dan mengecat rumah pakcik Zakariah menerusi program ini.

“Disamping itu, sukarelawan terlibat turut menyediakan tikar getah, almari dapur dan sofa baharu demi keselesaan kepada keluarga pakcik Zakariah,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, perasmian program tersebut telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong yang turut bersama menyantuni dan membantu membersihkan rumah asnaf MAIM itu.

Hadir sama, Pegawai Agihan Zakat Melaka Tengah Mohd Dino Md Delan.

Selain membersih dan menceriakan rumah, MAIM turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan kit makanan untuk keluarga asnaf tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1479
Kongsi :
Previous post PAIP USANG 60 KILOMETER DI MELAKA DIGANTI