Sorting by

×

PMR 2025 MELAKA LAIN DARIPADA YANG LAIN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 14 Oktober – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang bakal berakhir di Melaka pada 17 hingga 19 Oktober ini bakal menampilkan pengisian lain daripada yang lain.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, antara tarikan istimewa yang dibawakan adalah pameran aset-aset Kementerian Pertahanan yang bakal dibawakan khas ke tapak program di Politeknik Merlimau.

Jelas beliau, pelbagai aset menarik seperti helikopter, kereta kebal serta aset yang tidak pernah dilihat sebelum ini akan dibawakan sepanjang program yang berlangsung selama tiga hari itu.

“Lebih istimewa, pengunjung juga bakal terpana dengan pertunjukan payung terjun, lintasan pesawat serta pelbagai lagi persembahan menarik oleh Angkatan Tentera Malaysia.

“Tidak hanya itu, orang ramai juga akan mendapat pelbagai manfaat sepanjang program ini, antaranya tukar helmet dan minyak hitam motosikal percuma, pengurangan kompaun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai jualan makanan serta pameran agensi dan jabatan kerajaan.

“Istimewanya lagi, turut diadakan Merlimau Berselawat pada Jumaat malam (7 Oktober), di mana kita membawakan kumpulan nasyid popular, Raihan ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Dr. Muhamad Akmal, Melaka sebagai lokasi penutup PMR 2025 juga lebih istimewa kerana ia diadakan di kawasan luar bandar, khusus untuk menyantuni masyarakat kampung di Negeri Melaka.

“Jadi, program ini bukan sekadar diadakan di pekan atau bandar-bandar sahaja, malah ia turut menyantuni semua golongan termasuk di luar bandar.

“Objektifnya adalah mahu semua rakyat merasai program anjuran kerajaan tanpa meminggirkan mana-mana golongan. Jadi, kita menjemput semua untuk memeriahkan lagi program ini pada hujung minggu ini,” katanya.

PMR 2025 Melaka dijadual akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober, di mana beliau akan turut bersama rakyat Melaka dalam program Kenduri Rakyat sempena majlis penutup program tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

592
Kongsi :
Previous post WRUR: DEEPAVALI LEBIH CERIA, 140 WARGA PARLIMEN TANGGA BATU DIHARGAI
Next post PESAKIT KANSER TERLANTAR TERHARU TERIMA BANTUAN MAIM