Sorting by

×

‘TENANG MENITI USIA SENJA, NENEK TIMAH 101 TAHUN JALANI HIDUP DENGAN CERIA’

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KLEBANG 16 Oktober – Pada usia 101 tahun, Timah Baba atau mesra disapa nenek Timah masih kuat, ceria dan memilih untuk tinggal bersendirian di rumahnya di Bukit Rambai, iaitu tempat yang penuh dengan kenangan hidupnya.

Warga emas anak jati Melaka itu merupakan anak bongsu daripada enam beradik dan kini satu-satunya yang masih hidup, walaupun usianya sudah mencecah satu abad, nenek Timah masih berdikari, menguruskan diri sendiri serta rumahnya dengan tenang.

“Cucu angkat ada datang jenguk, tanya khabar, tetapi nenek lebih selesa duduk di rumah sendiri,  sudah biasa dan lebih tenang. Setiap pagi selepas solat Subuh, nenek akan menyiapkan sarapan seperti nasi goreng, kalau bihun pula kebiasannya diberi cucu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Walaupun tiada rahsia khusus, nenek Timah percaya pemakanan sihat menjadi kunci kesihatannya dan membantunya kekal aktif hingga sekarang.

“Sejak muda nenek gemar makan sayur, terutama ulam pegaga. Antara menu kegemaran nenek adalah asam pedas ikan tenggiri, masak pindang tumis dan sayur gambas (petola) tumis air dengan udang.

“Sebelah petang pula, nenek gemar menikmati teh atau kopi cicah biskut sambil menonton televisyen,” katanya.

Pada usia muda nenek Timah pernah bekerja di kantin sekolah di Klebang dan juga kilang, kini, hari-harinya diisi dengan rutin sederhana seperti mengemas rumah, membasuh baju, atau sekadar berehat sambil menonton televisyen.

“Nenek tidak tidak mengamalkan senaman khusus cuma buat kerja rumah saja. Dulu masa muda timba air dari perigi, cari kayu api untuk memasak. Sekarang semua sudah senang.

“Sekali seminggu, sukarelawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang akan datang membantu membersihkan rumah, menyapu dan membasuh pinggan. Alhamdulillah, ada juga peneman. Rasa gembira bila orang datang jenguk,” katanya tersenyum.

Bagi Nenek Timah, rahsia panjang umur bukanlah pada ubat atau petua, tetapi hati yang tenang, rajin dan tidak banyak kerenah.

“Duduk rumah kena rajin, rumah mesti bersih selalu. Walaupun hidup sendirian, nenek tidak pernah sunyi sebab kadang-kadang kawan lama dari Kuala Lumpur telefon bertanya khabar atau berbual tentang lauk harian,” katanya.

Sebalik usianya yang panjang, nenek Timah membuktikan bahawa kekuatan sebenar seorang wanita bukan pada tubuh, tetapi pada hati yang tabah dan jiwa yang ikhlas menerima kehidupan seadanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1096
Kongsi :
Previous post PANGGUNG BANGSAWAN TERUS SOKONG TEATER TEMPATAN
Next post ‘BERUNTUNG DAPAT JAGA NENEK TIMAH’