
RM1.4 JUTA BAIK PULIH FASILITI SUKAN UZUR SELURUH MELAKA
BANDARAYA MELAKA 12 November – Sejumlah RM1.4 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membaik pulih fasiliti sukan sudah uzur di semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai usaha memperkasakan pembangunan sukan di Melaka.
Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP Shanmugam berkata, inisiatif itu dilaksanakan berikutan ada antara kemudahan berkenaan sudah berusia lebih 10 tahun dan dibina pada 2009 ketika Melaka menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya.
Katanya, menerusi peruntukan bajet tahun lalu, setiap DUN akan menerima RM50,000 bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan atau proses baik pulih.
“Usaha ini melibatkan baik pulih atau naik taraf fasiliti sukan seperti gelanggang futsal, takraw atau dewan. Kerja-kerja baik pulih ini sudah bermula sejak Januari lalu dan masih ada yang sedang dalam tindakan.
“Apabila siap kelak akan memberikan keselesaan kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 Bagi Tahun 2023/2024 yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di sebuah hotel di Lorong Bendahara, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


