
200 PESERTA EKSPEDISI TEROKA TAPAK BERSEJARAH MELAKA
AYER KEROH 13 November – Ekspedisi Jejak Warisan Melaka 2025 berlangsung baru-baru ini menghimpunkan seramai 200 peserta dari Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah berkata, berkonsepkan ‘treasure hunt’ acara itu bukan hanya pertandingan untuk mencari juara, tetapi bertujuan membudayakan semangat penerokaan serta menanamkan kecintaan terhadap sejarah dan warisan Melaka.
“Ekspedisi ini bukan sekadar pertandingan, tetapi perjalanan ilmu dan pengalaman yang membawa peserta menelusuri jejak warisan, memahami kisah lampau serta menghayati identiti Melaka sebagai negeri bersejarah.
“Program bermula jam 8 pagi di Jalan Kota, Banda Hilir dan berakhir di Hang Tuah Centre (HTC) dengan membawa peserta menjelajah ke pelbagai lokasi bersejarah di tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin,” katanya.
Menurut Erne peserta perlu melalui pelbagai cabaran, soalan serta aktiviti yang disusun bagi menguji pengetahuan, kecekapan, kerjasama dan semangat berpasukan.
“Inilah nilai warisan ingin kita teruskan yang mempunyai kebersamaan, kebijaksanaan dan kekuatan komuniti.
“Saya berharap program ini dijadikan acara tahunan kerana ia berpotensi menjadi satu tarikan pelancongan berasaskan warisan sekali gus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi warisan dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


