
MELAKA TROPICAL FRUIT HARM ‘HIDUP SEMULA’ TAHUN DEPAN
BUKIT KATIL 19 November – Melaka Tropical Fruit Farm di Sungai Udang akan kembali beroperasi pada pertengahan tahun depan selepas kerja naik tarafnya selesai dilakukan, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Menurut beliau, apabila dibuka semula kelak, produk berasaskan agropelancongan itu bakal berwajah baharu dengan dilengkapi kemudahan chalet dan inap desa, Caravan Park serta pelbagai tanaman buah-buahan.
Selain itu, jelas beliau, tarikan mini zoo di kawasan itu juga akan dihidupkan semula dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka bagi menambah lagi tarikan yang ada untuk menggamit kehadiran pengunjung dan pelancong.
“Apabila beroperasi semula, kita mahu orang ramai datang dan melihat serta merasai sendiri pelbagai produk pertanian yang ada di sini seperti rock melon, tembikai dan nanas, selain kita juga ada tanaman padi di situ.
“Pada masa sama, pembukaan semula mini zoo di sini juga membolehkan orang ramai datang bersama keluarga untuk memberi makanan pelbagai haiwan seperti ayam, kambing, ikan dan lain-lain lagi.
“Insya-Allah dengan kolaborasi pelbagai jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), produk agropelancongan ini akan kembali dibuka pada pertengahan tahun depan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Melaka 2025 di Bayou Lagoon Park Resort, di sini, baru-baru ini.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, projek naik taraf Melaka Tropical Fruit Farm itu menelan kos hampir RM3 juta.
Jelas beliau, selain Sungai Udang, satu lagi produk agropelancongan akan dibangunkan di Sungai Rambai iaitu berkonsepkan ladang rusa.
“Di ladang rusa Sungai Rambai ini juga orang ramai boleh melihat dan mempelajari proses ternakan rusa, di samping boleh merasai keenakan daging rusa.
“Projek ini juga dijangka akan bermula tahun depan dan ketika ini kerja naik taraf sedang dijalankan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


