
KERAJAAN NEGERI TERUSKAN INISIATIF PERKASA PENDIDIKAN ANAK MELAKA
AYER MOLEK 27 November – Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pendidikan anak-anak Melaka terus dizahirkan melalui pelaksanaan Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Sesi Akademik 2026.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sejumlah RM755,200 diperuntukkan bagi tahun 2026, sekali gus meringankan beban ibu bapa membuat persediaan awal persekolahan.
Menurutnya, peruntukan itu disalurkan kepada 3,776 murid daripada 243 sekolah rendah seluruh negeri yang membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa cakna terhadap keperluan rakyat khususnya dalam bidang pendidikan.
“Sesungguhnya masa depan diri, keluarga, negara dan negeri ini bergantung kepada kejayaan anak-anak pada masa akan datang, jadi manfaatkan bantuan ini dengan sebaiknya.
“Kesemua bantuan ini membuktikan betapa Kerajaan Negeri prihatin dalam membangunkan pendidikan anak-anak di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Negeri Melaka Sesi Akademik 2026 di Japerun Ayer Molek, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) turut memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan kepada anak jati Melaka di pelbagai peringkat pengajian sejak ditubuhkan pada tahun 2000.
“Setakat ini bagi sekolah rendah sahaja seramai 89,850 orang murid menerima manfaat hasil agihan bantuan persekolahan daripada TAPEM yang menyalurkan peruntukan keseluruhan mencecah RM12.89 juta,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
