Sorting by

×

MELAKA ‘HIDUPKAN’ TANAH TERBIAR JADI LADANG PERTANIAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

JASIN 20 November – Kerajaan Negeri mahu mengaktifkan semua tanah terbiar di negeri ini sebagai ladang pertanian sekali gus meningkatkan pengeluaran makanan dan menjamin bekalan dalam negeri.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan mana-mana pemilik tanah bagi memastikan tanah terbiar dimanfaatkan sepenuhnya.

“Konsep kita adalah mana-mana tanah terbiar, baik milik individu atau kerajaan mesti diguna pakai untuk keperluan dan penghasilan makanan di Melaka.

“Kalau tanah individu, kita boleh bayar sewa atau pemilik boleh menjadi sebahagian ‘shareholder’ dalam syarikat yang mengusahakan tanah itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Ladang Peringkat Daerah Jasin 2025 di Ladang Jagung Rim, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Adun Merlimau berkata, ketika ini terdapat tiga hingga empat kawasan tanah terbiar berskala besar yang sedang diusahakan pengusaha tempatan, namun Kerajaan Negeri mahu jumlah itu terus ditambah.

“Setakat ini pembangunan tanah terbiar di Melaka melibatkan pelbagai projek pertanian termasuk ladang jagung, ‘rock melon’ serta tanaman halia dan bawang.

“Kita telah berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memanfaatkan tanah di bawah pencawang elektrik untuk tanaman kontan dan TNB telah bersetuju namun perlu mengikut syarat ditetapkan iaitu tiada binaan kekal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post MELAKA ANJUR FESTIVAL CHENG HO 2026
Next post KOMITMEN MBMB SEDIA INFRASTRUKTUR PERNIAGAAN BERKUALITI