
BAJET 2026 MELAKA: BELIA MAHU KEMAHIRAN DIGITAL, KUALITI HIDUP DAN PEMILIKAN RUMAH DIBERI PERHATIAN
AYER KEROH 20 November – Kemahiran digital, kualiti hidup dan pemilikan rumah dalam kalangan belia antara perkara diharap diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri menerusi Bajet Melaka 2026.
Ahli Dewan Belia N.09 Durian Tunggal Muhammad Zulaqmar Zainudin berkata, bajet 2026 diharap bukan sekadar dokumen kewangan sebaliknya cerminan kepada keutamaan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat.
“Belia khususnya sudah pasti masa depan pekerjaan yang terjamin menjadi keutamaan, bagi orang muda minat dalam bidang keusahawanan pula diharapkan Kerajaan Negeri dapat menyediakan dana permulaan.
“Selain itu beliau juga berharap perhatian diberikan kepada aspek kualiti hidup, khusus bagi mereka yang tinggal kawasan luar bandar.
“Justeru diharap bajet dapat menyediakan peruntukan khusus untuk menaik taraf secara menyeluruh kemudahan sukan dan reakrasi komuniti sedia ada, contoh aspek pencahayaan kawasan riadah di Pekan Durian Tunggal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Muhammad Zulaqmar berkata, dalam menangani isu tekanan hidup, Kerajaan Negeri juga diharap dapat menyediakan dana bagi meningkatkan akses kepada program kesihatan mental dan kaunseling belia.
Beliau turut menyarankan Kerajaan Negeri agar mempertimbangkan Skim Insentif Pemilikan Rumah Belia (INSPIRASI-Belia) yang menawarkan deposit lebih rendah serta tempoh bayaran balik lebih fleksibel.
“Saya juga berharap inisiatif menambah baik laluan pengangkutan awam yang menghubungkan Durian Tunggal dengan institusi pendidikan serta kawasan tumpuan pekerjaan. Pengangkutan awam yang cekap mampu membantu kepada peningkatan jumlah pengguna dan mengurangkan kenderaan persendirian di jalan raya.
“Seperti semua tahu Durian Tunggal menjadi laluan utama bagi mereka berulang alik antara Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah,” katanya.
Jelasnya, menerusi Bajet Melaka 2026 diharap Kerajaan Negeri turut memberi perhatian, sekali gus menyediakan bajet khusus kepada program tahunan untuk Ahli Dewan Belia Negeri Melaka melaksanakan aktiviti.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


