Sorting by

×

MELAKA JALANKAN KAJIAN DI CHINA, BUKTIKAN KEHEBATAN LEGASI MARITIM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat
KLEBANG 18 November – Institut Tun Perak sedang menjalankan kajian di China, bagi merungkai sejarah berkaitan legasi maritim Melaka dan pelayaran Laksamana Cheng Ho ke negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, kajian dilaksanakan itu bertujuan untuk membuktikan secara lebih jelas mengenai hubungan sejarah yang akrab antara Melaka dan China, selain mengesahkan tujuh pelayaran Cheng Ho ke negeri ini antara tahun 1405 hingga 1433.
“Saya yakin rekod dan fakta ini akan membuktikan bahawa Melaka pernah menjadi sebuah pelabuhan entrepot dan hab persinggahan utama bagi pedagang dunia.
“Sementara itu bagi menyokong inisiatif ini, Melaka juga giat melaksanakan kajian di Tugu Bukit Pelindung Negara. Kajian melibatkan aspek sejarah dan arkeologi ini bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai kekayaan warisan maritim Melaka,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Cheng Ho’s Economic Nexus for Global Harmony & Outreach (CHENGHO2025).
Hadir sama Menteri Kedutaan Republik China di Malaysia, Zheng Xuefang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Yang turut hadir Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong, barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, dapatan daripada kajian dilaksanakan akan dikongsi kepada semua, khusus golongan muda.
“Bukan sahaja menambah ilmu orang muda, tetapi diharapkan dapatan ini nanti memberikan inspirasi, menyemarakkan perasaan bangga seterusnya menghargai kehebatan warisan maritim Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post LRA JUS FASA 2 MAMPU BEKALKAN SEHINGGA 6 JUTA LITER AIR BERSIH SEHARI
Next post BATIK MELAKA KE PERSADA ANTARABANGSA