
BAJET NEGERI MELAKA 2026: MAIM MAHU PERANAN BAITULMAL DIPERKASA
AYER KEROH 20 November – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berharap pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 akan memberi fokus kepada pemerkasaan peranan Baitulmal dalam usaha memperkukuh manfaat umat Islam di negeri ini.
Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, ia juga diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan penyertaan umat Islam dalam amalan wakaf dan sedekah jariah.
“Langkah ini dilihat dapat juga melonjakkan kutipan zakat bagi manfaat ummah di negeri ini.
“Untuk bajet 2026, memang harapan kita adalah meningkatkan kesedaran dan meraih sebanyak mungkin penglibatan umat Islam dalam amal berwakaf.
“Kita yakin juga pembayaran zakat di negeri ini akan meningkat pada tahun hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Mohd Hairulamin, penyertaan masyarakat dalam segmen wakaf dan sumbangan umum juga dijangka turut meningkat melalui pelaksanaan beberapa projek utama yang dirancang untuk diperkenalkan tahun hadapan.
“Insya-Allah, kita akan zahirkan beberapa projek ikonik melalui Bajet Negeri Melaka 2026 bagi membuktikan bahawa usaha kita membangunkan ekonomi dan kebajikan umat Islam bukan sekadar perancangan atas kertas, tetapi dapat dilihat secara realiti,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyuarakan keyakinan pembentangan bajet oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bakal bersifat inklusif dan menyeluruh termasuk dalam memperkasa pembangunan umat Islam di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

