Sorting by

×

MANGSA BANJIR MELAKA MENINGKAT KEPADA 232 ORANG, LAPAN PPS DIBUKA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 29 November – Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Melaka setakat jam 8 malam tadi meningkat kepada 232 orang.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Melaka berkata, jumlah itu melibatkan 74 buah keluarga dan kini ditempatkan di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah.

“Seramai 76 mangsa ditempatkan di dua PPS di Melaka Tengah, sementara itu 156 mangsa daripada 54 keluarga ditempatkan di enam PPS di Alor Gajah.

“PPS Sekolah Kebangsaan Krubong merekodkan mangsa paling ramai iaitu 76 orang diikuti PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang dengan 72 orang dan seramai 46 orang mangsa pula dipindahkan ke Dewan Japerun Ayer Limau,” katanya.

Katanya, proses pendaftaran mangsa masih lagi berjalan di PPS Sekolah Kebangsaan Taman Merdeka dan Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam.

“Secara keseluruhan 16 kawasan membabitkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah dilaporkan terjejas dengan 13 daripada adalah di Alor Gajah,” katanya.

Sementara itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad turut meluangkan masa meninjau keadaan mangsa di Dewan Japerun Ayer Limau.

Hadir sama Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Setiausaha MPAG, Radzyma Mahat, wakil agensi dan jabatan berkaitan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

375
Kongsi :
Previous post LCP 2.0 PERTINGKAT KELANCARAN PEMBANGUNAN, PERKUKUH KEYAKINAN PELABUR