Sorting by

×

RASAI PENGALAMAN MELAWAT RUMAH CONTOH SECARA MAYA DI EKSPO RMM 2025

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 21 November – Ekspo Rumah Mampu Milik (RMM) 2025 menampilkan kelainan apabila pengunjung yang singgah berpeluang merasai pengalaman melihat rumah contoh ditawarkan secara maya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ekspo berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad (21 hingga 23 November) di sebuah pusat beli-belah, di sini, turut menyediakan perkhidmatan semakan kelayakan buat pengunjung bercadang untuk membeli rumah baharu.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 1,116 unit RMM ditawarkan meliputi pembangunan di ketiga- tiga daerah di negeri ini pada harga bermula RM70,000 hingga RM250,000.

“Tahun ini kita himpunkan 13 pemaju perumahan swasta menawarkan Rumah Kos Rendah, Rumah Kos Sederhana Rendah, Rumah Mampu Milik Impian A serta Rumah Mampu Milik B.

“Kita bawakan juga agensi seperti Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Perbadanan Pr1ma Malaysia, Melaka Finance House (MFH) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SKJP) selain institusi perbankan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu rakyat mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pembiayaan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata objektif utama penganjuran ekspo itu untuk membuka peluang kepada rakyat Melaka menilai dan membuat pilihan kediaman yang sesuai mengikut kemampuan masing-masing.

“Penganjuran ekspo ini menjadi landasan strategik dan inklusif yang menyatukan rakyat, pemaju serta kerajaan.

“Menerusi penganjuran ini rakyat dapat melihat dengan jelas komitmen kerajaan berhubung isu perumahan yang diterjemah secara nyata, tersusun dan mudah diakses,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

352
Kongsi :
Previous post MUZIUM SASTERA MELAKA PUSAT ILMU, DESTINASI PELANCONGAN BUDAYA
Next post PERZIM DOKUMENTASIKAN KHAZANAH MANUSKRIP MELAYU