
FAHAMI ASAS DEMOKRASI, PILIH SECARA MATANG DAN BIJAK, BUKAN IKUT EMOSI
LENDU 22 November – Bukan sahaja memahami asas demokrasi, sebaliknya generasi muda juga perlu bijak membuat pilihan kepimpinan masa hadapan berdasarkan pemikiran yang matang, bijak dan tidak dipengaruhi oleh emosi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan yang dipengaruhi oleh emosi boleh menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan serta ketidakstabilan pada masa hadapan.
Katanya, sehubungan itu pendedahan menerusi Program Rakan Muda Rakan Demokrasi amat penting dalam memberi kesedaran kepada generasi muda tentang peranan penting mereka bagi menentukan hala
tuju negeri dan negara selain bagaimana setiap pilihan memberi impak kepada masyarakat serta generasi akan datang.
“Saya dimaklumkan, melalui simulasi pilihan raya, peserta akan dibawa menyusuri keseluruhan proses demokrasi dari awal hingga akhir. Bermula dengan menilai calon, membuat pilihan, sehingga memasukkan
kertas undi ke dalam peti undi.
“Ini merupakan satu peluang yang amat bernilai. Justeru, Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik dan menyokong penuh inisiatif ini, kerana ia dapat menyemai rasa tanggungjawab serta keyakinan, sekali gus
membentuk generasi muda yang bersedia menghadapi apa juga cabaran di masa hadapan,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan perasmian Program Rakan Muda Rakan Demokrasi Undi Orang Muda / Simulasi Pilihan Raya Peringkat Daerah Alor Gajah Siri 2 Tahun 2025 di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Zailani Siran dan Timbalan Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka, Noraniza Shuib.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, anak muda yang hadir pada program itu bukan sekadar pemerhati dalam sistem politik sebaliknya menjadi penentu hala tuju negeri untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Langgani Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

