
SASAR TARIK 19 JUTA PELANCONG, 225 ACARA MERIAHKAN TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0
LENDU 22 November – Sebanyak 225 acara pelancongan termasuk sembilan program utama disusun bagi memeriahkan Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0) sepanjang 2026, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan, perancangan itu adalah untuk meneruskan momentum positif pelancongan tempatan dan mencapai sasaran menarik lebih 19 juta pelancong ke negeri ini sepanjang 2026 dengan jangkaan pendapatan sebanyak RM20 billion.
Katanya, antara acara utama bakal dilangsungkan adalah, Festival Tahun Baharu Cina 2026 ( 10 Februari – 10 Mac) di Jonker Walk; Majlis Pengistiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (20 Februari); Raptor Watch 2026 Challenge (6 – 8 Mac) di Tanjung Tuan; Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka (28 Mac) dan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2026 (26 – 28 Jun) di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka.
Juga bakal dianjurkan adalah Melaka Rainforest Festival 2026 (26 – 28 Jun) di Taman Eko Rimba Bukit Batu Lebah, Jasin; Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka 2026 (3 – 7 Julai) di Memorial Pengisytiharaan Kemerdekaan, Banda Hilir; Melaka Heritage Festival In Conjuction with 18th Anniversary Of UNESCO World Heritage City Celebration (5-7 Julai) di Banda Hilir dan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 (11 – 13 September)
di Tanjung Bidara, Masjid Tanah.
“Bagi memperkemaskan perjalanan inisiatif ini Kerajaan Negeri Melaka melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) telah mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan melibatkan penggiat hotel, ejen pelancongan, Persatuan dan sektor penerbangan.
“Sesi libat urus ini juga turut membincangkan strategi promosi, insentif kerajaan serta ‘business matching’ yang boleh dilaksanakan sempena TMM 2.0,” kata Ketua Menteri.
Menurut beliau pelbagai inisiatif baharu akan diperkenalkan sempena TMM 2.0 yang akan diumumkan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Bajet Negeri Melaka 2026 pada 5 Disember 2025 (Jumaat).
“Pelancaran TMM 2.0 akan diadakan pada 31 Disember 2025 di Encore Melaka bersempena dengan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026.
“Untuk maklumat, penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) telah BERJAYA menarik seramai 15.03 juta pelancong ke Melaka, DENGAN anggaran keuntungan pendapatan (tourism receipts) diterima Kerajaan Negeri Melaka adalah sebanyak RM12.688 bilion,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

