Sorting by

×

JABATAN PERTANIAN AKTIFKAN BILIK GERAKAN HADAPI RISIKO BANJIR, JEJAS TANAMAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KESIDANG 22 November – Jabatan Pertanian mengaktifkan bilik gerakan banjir sebagai langkah menghadapi musim tengkujuh berisiko menjejaskan bekalan tanaman, khususnya sayur-sayuran.

Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Datuk Nor Sam Alwi berkata, pegawai lapangan turut dibekalkan nombor talian khas bagi melaporkan segera sebarang kejadian banjir atau kemusnahan tanaman untuk tindakan serta penyelarasan peringkat ibu pejabat.

Katanya, Jabatan Pertanian seluruh negara telah dan akan melaksanakan pelbagai langkah Pencegahan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan risiko banjir.

“Antara langkah pencegahan menjelang musim tengkujuh kita lakukan adalah telah mengarahkan petani untuk menuai awal tanaman yang sedia dituai.

“Menyediakan kemudahan para bagi menaikkan polibeg di kawasan berisiko dan memantau rapi ‘hotspot’ banjir terutama negeri di Pantai Timur dan beberapa lagi sekitar Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Limbongan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Rozli Azizi Talib serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Nor Sam berkata, perancangan jadual tanaman dan air sebenarnya boleh mengurangkan risiko banjir, namun perubahan cuaca yang tidak menentu ketika ini menyukarkan perancangan dibuat dengan tepat.

Jelasnya, sayur merupakan tanaman yang paling mudah terjejas kerana penanamannya menggunakan batas, manakala buah-buahan bermusim seperti durian dan rambutan tidak berada pada tahap kritikal ketika ini.

“Bekalan sayur biasanya tidak terjejas teruk kerana kita boleh melakukan pengimportan.

“Untuk beras pula, stok simpanan yang telah dibuat turut membantu memastikan bekalan mencukupi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

157
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: SEKTOR PELANCONGAN DIHARAP JADI TUMPUAN