
PENDUDUK NYALAS TERUJA BAKAL MILIKI KEMUDAHAN STESEN MINYAK PERTAMA
ASAHAN 23 November – Penantian penduduk di kawasan Nyalas, Asahan sejak sekian lama yang mahukan kemudahan stesen minyak bakal terlaksana apabila kemudahan itu yang kini dalam fasa pembinaan dijangka siap dan beroperasi pada tahun hadapan.
Penduduk Kampung Nyalas, Norziah Mahat, 53, berkata, hasrat untuk mendapatkan sebuah stesen minyak sudah lama disuarakan warga DUN Asahan memandangkan ia merupakan antara keperluan penting dalam menggerakkan aktiviti harian.
Katanya, disebabkan tiada kemudahan stesen minyak, penduduk perlu memandu sejauh kira-kira 14 kilometer (km) ke Pekan Selandar untuk mengisi petrol atau diesel.
“Kami penduduk DUN Asahan sudah lama menyuarakan hal ini dan akhirnya kini kami lega kerana apa yang dihajati akan tercapai.
“Bayangkan untuk mengisi minyak penduduk perlu ke stesen minyak yang jarakanya berbelas km, ini bukan sahaja merugikan masa tetapi juga tenaga.
“Apabila perlu pergi jauh untuk mengisi minyak terutamanya penunggang motosikal ia agak membahayakan keselamatan jadi stesen minyak amat diperlukan penduduk setempat,” katanya.

Norziah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Stesen Minyak FIVE, yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan, di Jalan Tangkak-Nyalas, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif FIVE Petroleum Malaysia, Datuk Seri Dr. King Lim Chin Fui dan Pengarah Impressive Fuel Enterprise, Farosham Naizamohideen.
Menurut Norziah, pembinaan stesen minyak itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk setempat tetapi juga pengguna jalan raya yang menggunakan laluan itu sama ada untuk ke Tangkak, Johor mahupun menghala ke sempadan Negeri Sembilan.
“Pembinaan stesen minyak ini diharap secara tidak langsung akan membantu ekonomi penduduk setempat apabila ramai pengguna jalan raya akan berhenti di sini nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif FIVE Petroleum Malaysia, Datuk Seri Dr. King Lim Chin Fui, berkata, pembinaan stesen minyak itu adalah bukti kesungguhan Adun Asahan yang amat komited dalam membangunkan kawasan setempat.
“Lokasi pembinaan ini adalah amat strategik kerana menjadi laluan penghubung bukan sahaja ke Johor tetapi Negeri Sembilan dan juga Pahang.
“Malah apabila siap kelak, stesen minyak ini boleh membuatkan dan mengisi minyak untuk 10 buah kenderaan dalam satu-satu masa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

