
BAJET NEGERI MELAKA 2026: TINGKAT KEMUDAHAN AWAM, SOKONGAN MENTAL JADI ‘WISHLIST’ RAKYAT
KLEBANG 23 November – Menjelang pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 pada awal Disember ini, penduduk Melaka menyuarakan pelbagai harapan buat Kerajaan Negeri.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata rakyat di negeri ini berharap bajet 2026 memberi impak langsung kepada kehidupan seharian mereka, terutamanya dalam aspek kemudahan awam dan kesejahteraan sosial.
Katijah Yasin, 45, dari Batu Berendam berharap Kerajaan Negeri dapat meningkatkan lagi tahap kualiti infrastruktur dan kemudahan awam.
“Kami harap pembinaan lebih banyak laluan pejalan kaki dan lampu jalan bagi mewujudkan suasana lebih selamat, begitu juga dengan kawasan hijau bagi aktiviti riadah dan membudayakan amalan hidup sihat.
“Tidak dilupa juga kemudahan riadah yang mesra dan sesuai untuk kegunaan warga emas serta orang kurang upaya (OKU). Infrastruktur mesra rakyat bukan sahaja memudahkan kehidupan harian, malah meningkatkan kualiti hidup,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Mohd Firdaus Ali, 30, dari Pokok Mangga berharap Kerajaan Negeri dapat memberikan tumpuan berhubung isu kesihatan mental golongan sasar seperti pelajar sekolah, belia tamat pengajian dan pekerja.
Katanya, perkara itu penting memandangkan ramai yang kurang peka dengan isu semakin membelenggu masyarakat dan Kerajaan Negeri boleh meningkatkan kesedaran serta sokongan menerusi pelbagai inisiatif.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga boleg meningkatkan lagi penganjuran kempen kesedaran sosial seperti anti buli, kepentingan menjaga warga emas dan keselamatan di jalan raya.
“Selain itu, di Melaka ini setiap minggu akan ada pelbagai karnival dan festival, jadi diharapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat perbanyakkan lagi kawasan parkir atau menambah infrastruktur selamat di laluan utama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

