Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026: RAPATKAN JURANG DIGITAL BANDAR, LUAR BANDAR

Masa Membaca:55 Saat

ASAHAN 23 November – Bajet Negeri Melaka 2026 diharap mampu memperkukuh pembangunan bandaraya pintar serta meningkatkan kemudahan digital khususnya di kawasan luar bandar.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ia bagi memastikan rakyat Melaka menikmati capaian teknologi yang lebih seimbang.

Fairul Nizam berkata, antara fokus utama diharapkan ialah penyediaan peruntukan khas untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

“Menerusi portfolio saya, kita mahu pastikan kemudahan digital dapat ditambah baik termasuk akses internet dan elemen bandaraya pintar agar rakyat luar bandar tidak ketinggalan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai pembinaan menara telekomunikasi, beliau berkata, perkembangan projek setakat ini berjalan lancar hasil kerjasama semua agensi teknikal.

“Alhamdulillah setakat ini semua berjalan lancar kerana kita menerima kerjasama baik daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan semua pihak terlibat.

“Proses kelulusan dahulu ambil masa sehingga enam bulan kini dipercepatkan kepada sekitar dua bulan melalui penambahbaikan gerak kerja dan prosedur dalam Melaka ICT Holding Sdn Bhd (MICTH),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

224
Kongsi :
Previous post PENDUDUK NYALAS TERUJA BAKAL MILIKI KEMUDAHAN STESEN MINYAK PERTAMA