Sorting by

×

ANGGOTA POLIS PARAH DILIBAS PARANG, TIGA PENJENAYAH GENG DT TUMPAS DITEMBAK

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 24 November – Seorang anggota polis parah akibat diserang kumpulan penjenayah dikenali Geng DT bersenjatakan parang sebelum ketiga-tiga suspek ditembak mati dalam serbuan di sebuah kebun kelapa sawit berhampiran Taman Tambun Perdana, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 4.50 pagi itu, anggota berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera di tangan kiri akibat dilibas parang ketika dia bersama sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka cuba menahan kesemua suspek.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata dalam Op Casa dilancarkan sejak bulan lalu bagi membanteras kes samun di negeri ini, polis terserempak dengan kumpulan penjenayah terbabit di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek aktif melakukan aktiviti samun di negeri ini dan ketika kejadian, semua suspek dipercayai sedang merancang untuk melakukan satu lagi kes samun.

“Ketika cubaan menahan ketiga-tiganya yang berusia antara 24 hingga 29 tahun itu, kesemua suspek bertindak agresif menyerang anggota polis dan mengakibatkan seorang anggota cedera dilibas parang pada bahagian tangan kiri.

“Disebabkan serangan tersebut, pasukan kita tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan diri dan terpaksa melepaskan tembakan terhadap ketiga-tiga suspek, yang mana kesemuanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Whatsapp image 2025 11 24 at 1.06.47 pm
DZULKHAIRI (dua dari kiri) menunjukkan peralatan yang digunakan dalam kejadian samun oleh tiga Geng DT yang ditembak mati polis dalam serbuah di kebun kelapa sawit, berhampiran Taman Tambun Perdana, Durian Tunggal awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata semakan mendapati suspek pertama yang berusia 29 tahun mempunyai 39 rekod jenayah lampau sementara itu suspek kedua yang berusia 24 tahun memiliki 12 rekod lampau, kesemuanya melibatkan kes jenayah dan dadah selain masih dikehendaki pihak polis.

“Identiti suspek ketiga belum dikenal pasti kerana tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Siasatan lanjut mendedahkan kumpulan itu telah melakukan 20 kes samun di Melaka sejak tahun 2024, selain dua kes di Negeri Sembilan dan satu kes di Selangor, dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM1.3 juta,” katanya.

Dzulkhairi berkata, dalam kesemua kes samun yang dilakukan, kumpulan penjenayah itu menyasarkan rumah persendirian, kilang dan kedai dengan menggunakan parang, besi, topeng serta bergerak melalui ladang sawit atau hutan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, turut dirampas dalam operasi itu ialah tiga bilah parang, satu pemotong besi (grinder), tiga topeng dan tiga pasang sarung tangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Polis Melaka akan meneruskan Op Casa bagi membanteras kes samun di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1188
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: FOKUS PEMERKASAAN USAHAWAN BELIA, KOPERASI
Next post BAJET NEGERI MELAKA 2026: ANJUR LEBIH BANYAK ACARA SUKAN PERMOTORAN