
KONVENSYEN KHAS PENDIDIKAN MELAKA HIMPUN 10 KLUSTER LIBATKAN 2,500 PESERTA
AYER KEROH 24 November – Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka dijadualkan pada 12 dan 13 Disember depan akan menghimpunkan 10 kluster melibatkan pelajar, guru, wakil sekolah dan agensi berkaitan bagi membincangkan isu pendidikan secara menyeluruh.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, konvensyen itu merupakan platform penting untuk mengumpulkan hasil bengkel setiap kluster sebelum dibawa kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tindakan sewajarnya.
“Konvensyen ini bukan sahaja melibatkan pelajar malah guru, pengetua, guru kaunseling, pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekolah swasta serta pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Setiap kluster akan menghasilkan cadangan dan resolusi yang spesifik, semua keputusan akan dibawa ke KPM supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi memperkukuh sistem pendidikan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Menurut Rahmad konvenysen itu dijangka melibatkan 2,500 peserta termasuk pelajar tingkatan empat dan enam untuk bersama-sama menyuarakan pandangan mereka.
“Ia sekali gus menjadikan program ini inklusif dan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam pembangunan pendidikan negeri.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada perancangan strategik Kerajaan Negeri bagi memastikan isu pendidikan ditangani secara bersepadu, membabitkan seluruh ekosistem pendidikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


