
BANJIR: MELAKA SIAP SIAGA, PASTIKAN PEPERIKSAAN SPM BERJALAN LANCAR
AYER KEROH 25 November – Melaka berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan banjir yang berpotensi menjejaskan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan musim Monsun Timur Laut.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, meskipun negeri ini jarang berdepan banjir besar seperti di Pantai Timur, namun langkah persediaan tetap diutamakan bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.
“Bukan tidak pernah berlaku banjir cuma tidak terlalu serius, namun kita tidak ambil mudah kerana kita memang sudah bersiap sedia.
“Jika ada sekolah yang tidak boleh digunakan semasa peperiksaan, kita telah mengenal pasti sekolah lain berhampiran untuk digunakan sebagai pusat pemindahan peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Rahmad berkata, selain mengenal pasti pusat peperiksaan alternatif, pelan kontingensi lengkap telah disediakan bagi memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.
“Insya-Allah, kita berharap Melaka tidak mengalami banjir, setakat ini pun tiada dan kita berdoa agar keadaan kekal baik. Namun pelan kontingensi memang sudah ada sekiranya berlaku sebarang kemungkinan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


