Sorting by

×

SENDIRIAN DIDIK 20 ANAK ORANG ASLI, IBRAHIM DIANGKAT TOKOH GURU MELAKA 2025

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 25 November – Selepas lebih satu dekad bersara Ibrahim Moktar, 71, menerima pengiktirafan atas sumbangannya dalam dunia pendidikan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Melaka 2025.

Ibrahim menerima anugerah itu pada Majlis Apresiasi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka 2025 disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusof.

Bapa kepada empat anak itu mengakui terkejut dan amat bersyukur atas penghargaan yang diterimanya.

“Walaupun saya telah bersara sejak 2012 jasa saya masih dihargai, sebenarnya saya amat terkejut dan tidak sangka boleh dianugerahkan di usia 71 tahun.

“Saya memulakan kerjaya sebagai pendidik pada 1976 dan menabur bakti selama 36 tahun tiga bulan, sepanjang perjalanan itu pelbagai cabaran terpaksa ditempuh termasuk pengalaman mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Labis, Johor sebuah sekolah anak-anak Orang Asli ketika itu.

“Dengan jumlah murid sekitar 20 orang dan hanya seorang guru, saya juga memikul pelbagai tanggungjawab sebagai guru biasa, guru kanan, guru besar malah turut membantu tugas kebun sekolah,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Pengalaman itu meninggalkan kenangan mendalam apabila Ibrahim turut berkesempatan menganjurkan sukan tradisional Orang Asli, termasuk pertandingan menyumpit dan menebang pokok.

Bagi Ibrahim penglibatan komuniti itu menjadi memori paling berharga sepanjang kerjayanya dalam dunia pendidikan sebelum mengakhiri kerjaya itu sebagai Guru Besar di SK Pernu, Telok Mas.

“Bercakap tentang cabaran guru dahulu dan sekarang, komitmen pendidik tetap tinggi cuma beban tugas dan penggunaan teknologi kini lebih mencabar.

“Jadi para guru diingatkan supaya sentiasa sabar dan amanah dalam mendidik anak-anak,” katanya yang menetap di Taman Pitis, Merlimau sejak 1988.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

472
Kongsi :
Previous post MELAKA WONDERLAND TAWAR HARGA PROMOSI SEMPENA CUTI SEKOLAH
Next post LEBIH 200 ‘BIKERS’ MERIAHKAN ULANG TAHUN KE-11 MALACCA LADY BIKERZ