
HELIKOPTER SUPER LYNX TLDM MENDARAT CEMAS DI PERAIRAN KLEBANG, 4 KREW SELAMAT
KLEBANG 1 Januari – Sebuah helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlibat dalam insiden pendaratan kecemasan di perairan Pantai Klebang ketika menjalankan penerbangan demonstrasi, malam tadi.
TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian itu berlaku pada jam 10.50 malam ketika pesawat berkenaan sedang menjalankan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).
Ketika kejadian, sedang berlangsung juga Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka.
Menurut kenyataan itu, seramai empat kru udara TLDM berada di dalam pesawat ketika kejadian dan kesemua mereka berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Melaka bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
“Semua kru berada dalam keadaan sedar dan stabil serta sedang dipantau oleh pasukan perubatan,” menurut kenyataan TLDM.
Susulan insiden itu, TLDM telah mengambil tindakan serta-merta dengan mengatur gerakan operasi salvaj helikopter terbabit.
“Selain itu, sebuah lembaga siasatan turut ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” tambah kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, TLDM turut memohon kerjasama orang ramai agar tidak menularkan sebarang rakaman video berkaitan insiden tersebut bagi menjaga sensitiviti serta memastikan kelancaran proses siasatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

