Sorting by

×

46 PARIT DI SUNGAI RAMBAI PERLU DISELENGGARA KERAP, ELAK BANJIR BERULANG

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SUNGAI RAMBAI 2 Januari – Masalah sistem perparitan yang tidak diselenggara secara berkala dikenal pasti antara faktor utama menyumbang kepada risiko banjir di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata, DUN Sungai Rambai mempunyai 46 buah parit yang bersaiz besar dan panjang yang boleh dikategorikan sebagai sungai kecil.

“Di Sungai Rambai ini kita mempunyai parit yang boleh dikategorikan sebagai sungai. Justeru, saya memohon supaya kerja-kerja pembersihan dapat dilaksanakan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun di semua kawasan berisiko banjir.

“Terdapat enam kawasan dalam DUN Sungai Rambai dikenal pasti sering terjejas banjir antaranya Kampung Parit Perawas, Parit Penghulu Benteng, Jalan Simen Sebatu dan Seri Mendapat selain beberapa lokasi lain,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, di sini, pada Rabu.

Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, Sungai Rambai telah diwartakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sebagai kawasan tadahan air dan menjadi laluan terakhir aliran air dari beberapa DUN berhampiran.

“Sungai Rambai menerima aliran air dari kawasan sekeliling, justeru saya berharap Kerajaan Negeri dapat memperhalusi keperluan serta menambah peruntukan bajet bagi kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan di DUN Sungai Rambai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post INSIDEN HELIKOPTER: DUA KRU CEDERA DIPINDAHKAN KE LUMUT
Next post PELBAGAI PROGRAM MENARIK SEMPENA ULANG TAHUN MPJ KE-19