
INSIDEN HELIKOPTER: DUA KRU CEDERA DIPINDAHKAN KE LUMUT
PENGKALAN BATU 2 Januari – Dua kru udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang cedera selepas terbabit dalam insiden helikopter mendarat cemas di perairan Pantai Klebang, Rabu lalu akan dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera di Lumut untuk rawatan lanjut.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, Bintara Kanan (BK) Technician Marine Srimala (TMS) Mohammad Zullfika Mohiddi yang dirawat di Hospital Melaka akibat kecederaan di bahagian pinggang dan betis kanan dijangka akan dipindahkan ke hospital berkenaan hari ini.

Menurut beliau, seorang lagi pegawai TLDM, Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka susulan komplikasi pada paru-paru, dijangka dipindahkan ke Lumut selepas keadaannya disahkan stabil oleh pasukan perubatan.
“Keadaan kedua-dua mangsa berada dalam pemantauan rapi dan sebarang keputusan pemindahan akan dibuat berdasarkan penilaian serta nasihat pakar perubatan yang merawat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan helikopter jenis Super Lynx dinaiki empat kru udara mendarat cemas ketika melakukan demostrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Majlis Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Ambang Tahun Baharu 2026 di Encore Melaka.
Dua kru iaitu Afiq Muzani dan Mohammad Zullfika masih dirawat di Hospital Melaka manakala dua lagi kru iaitu Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani dan Leftenan Mohammad Faiz Razali dibenarkan keluar semalam.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang melawat kedua-dua mangsa semalam dilaporkan berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menilai dan mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut bagi memastikan keselamatan pegawai dan anggotanya pada masa hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


