Sorting by

×

MELAKA BILA LARUT MALAM 3.0 PACU PELANCONGAN MALAM NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 4 Januari – Melaka Bila Larut Malam terbukti sebagai produk yang berjaya menggamit pengunjung domestik dan antarabangsa bersantai pada waktu malam dan lebih penting penganjurannya memberi impak ketara kepada ekonomi negeri sejak diperkenalkan Mei 2024.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerancakan program yang kini memasuki siri ke-3 penganjurannya bukanlah berlaku secara kebetulan, sebaliknya bermula sebagai satu idea berani yang berkembang sebagai eksperimen sebelum diterima rakyat.

“Sepanjang 19 edisi pelaksanaan program ini sejak Mei 2024, Melaka Bila Larut Malam berjaya menarik kira-kira 204,000 pengunjung dengan nilai pendapatan direkodkan mencecah RM2 juta.

“Program ini melibatkan 10 lokasi ikonik pelancongan antaranya Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka, Muzium Sejarah dan Etnografi, Panggung Bangsawan, Kompleks Ayer Panas Gadek, Malaysia Heritage Studios, Air Panas Cherana Puteh, kawasan Stadthuys sehinggalah ke Muzium Penjara Malaysia Melaka.

“Paling penting, tawaran harga serendah RM10 kekal bagi membolehkan semua lapisan masyarakat menikmati produk pelancongan yang ditawarkan,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Melaka Bila Larut Malam 3.0 di Perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, siri kali ini lebih istimewa apabila Kerajaan Negeri melancarkan Inisiatif Skim Mesra Pelancongan Melaka sebagai usaha menghargai pengunjung serta menyantuni lebih ramai rakyat.

“Pengunjung yang mengenakan busana tradisional atau etnik Melaka ketika menghadiri program ini akan menikmati kemasukan percuma ke lokasi terpilih.

“Saya percaya usaha ini bukan sahaja dapat mengangkat martabat warisan busana tradisional agar tidak ditelan dek zaman, malah menjadikan elemen budaya sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancong di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4967
Kongsi :
Previous post POLIS CARI INDIVIDU BALING BATU KE ARAH KERETA DI WCE
Next post TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0: PENJAWAT AWAM, PASUKAN BERUNIFORM NIKMATI PRODUK PELANCONGAN PERCUMA