
LAWATAN TURUN PADANG KENAL PASTI PUNCA BANJIR DI ASAHAN
ASAHAN 5 Januari – Langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang akan dilaksanakan bagi mengenal pasti punca banjir berulang di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan demi menjamin kesejahteraan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, hasil tinjauan mendapati antara punca utama kejadian banjir termasuk sistem perparitan yang sempit, penyelenggaraan tidak menyeluruh serta halangan aliran air akibat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak.
Menurut beliau, terdapat beberapa parit yang memerlukan pembersihan segera, namun kebanyakannya terletak dalam kawasan milik individu selain bukan seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Oleh itu, pihak Japerun Asahan mengambil inisiatif menanggung kos sendiri bagi kerja-kerja penyelenggaraan parit berkenaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, cadangan turut dikemukakan oleh penduduk kampung dan agensi teknikal untuk melakukan pembesaran longkang di kawasan tertentu yang dikenal pasti mempunyai aliran kemasukan air yang sempit.
“Selain faktor taburan hujan yang tinggi, kita turut mengesan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan bahan untuk mengempang air di kawasan parit bagi kegunaan kebun sendiri sehingga menjejaskan aliran air.
“Antara kawasan yang kerap dilanda banjir ialah Kampung Asahan khususnya di kawasan kebun sayur akibat limpahan sungai, walaupun kawasan itu tidak mengalami banjir hampir dua tahun sebelum ini yang dipercayai berpunca daripada masalah ‘flap gate’ yang tidak disenggara dengan baik,” katanya.
Fairul Nizam berkata, perbincangan turut diadakan bersama Pejabat Daerah Tampin dan JPS Tampin bagi cadangan pembinaan kolam tadahan sebelum aliran air memasuki kawasan Batang Melaka.
“Kita turut meminta Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) serta JPS menjalankan kajian dan kerja pengorekan sungai di kawasan Masjid Baru Nyalas dan Kampung Baru Pondok Batang bagi mengurangkan risiko banjir berulang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


